BEIJING, 17 SEPT — Pemain nombor satu dunia, Aryna Sabalenka, menarik diri daripada kejohanan Terbuka China minggu depan selepas mengalami kecederaan ketika dalam perjalanan merangkul gelaran Grand Slam keempatnya di New York awal bulan ini.
Pemain Belarus itu menewaskan Amanda Anisimova untuk mempertahankan gelaran Terbuka Amerika Syarikat (AS) buat tahun kedua berturut-turut, 10 hari lalu, namun tidak dapat beraksi pada kejohanan WTA 1000 di Beijing yang bermula 24 September ini.
“Aryna masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang dialami ketika Terbuka AS dan akan terlepas aksi Terbuka China 2025,” menurut penganjur dalam satu kenyataan.
Sabalenka, yang mara ke suku akhir edisi tahun lalu di Beijing, berkata di platform media sosial China, Weibo, dia ‘amat sedih’ terpaksa menarik diri selepas mengalami ‘kecederaan kecil’ di Flushing Meadows.

“Saya akan memberi tumpuan kepada pemulihan dan berusaha kembali ke gelanggang dengan kekuatan 100 peratus,” katanya.
Pemain berusia 27 tahun itu dijadual mempertahankan gelaran pada bulan depan di Terbuka Wuhan, iaitu kejohanan terakhir WTA 1000 tahun ini.
“Saya tidak sabar untuk bertemu peminat di China tidak lama lagi. Saya juga menantikan untuk kembali ke Beijing tahun depan,” tambahnya. – AFP

