MELBOURNE, 25 JAN – Aryna Sabalenka (gambar-AP) menetapkan pertemuan separuh akhir menentang Magda Linette di Terbuka Australia hari ini manakala Tommy Paul menamatkan deretan kemenangan Ben Shelton.
Sabalenka dari Belarus dianggap sebagai pemain pilihan untuk memenangi gelaran utama pertamanya selepas mempamerkan aksi cemerlang ketika menewaskan pemain Croatia, Donna Vekic 6-3, 6-2 di Rod Laver Arena.
Sabalenka, pemain pilihan kelima, merupakan pemain pilihan tertinggi yang masih bersaing dalam kategori wanita.
Perlawanan itu lebih sengit meskipun catatan mata dilihat sangat berbeza, tetapi Sabalenka berada dalam prestasi cemerlang dan dia masih belum kehilangan satu set di Melbourne dan telah memenangi kesemua sembilan perlawanan pada 2023.
Ia jauh berbeza daripada setahun yang lalu, ketika dia bergelut teruk dengan servisnya dan menitiskan air mata pada kejohanan pemanas badan di Terbuka Australia.
“Rasa sangat istimewa untuk berada di separuh akhir di sini, ia mrerupakan perlawanan yang sukar,” kata Sabalenka, 24, yang beraksi pada suku akhir Terbuka Australia untuk kali pertama.
“Saya sangat gembira dengan kemenangan itu dan ia sangat hebat untuk bermain di sini hari ini, suasananya sukar dipercayai.”
Sabalenka akan menentang pemain bukan pilihan, Linette untuk merebut tempat ke final Sabtu ini selepas dia mara ke separuh akhir utama pertamanya pada usia 30 tahun.
Linette mengejutkan bekas pemain nombor satu dunia, Karolina Pliskova 6-3, 7-5, wakil tunggal dari Poland selepas penyingkiran mengejut pemain nombor satu dunia, Iga Swiatek. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/01/P23-A-web_26012023.jpg)