Oleh Yusrin Junaidi
Sebagai seorang muslim sejati, mematuhi arahan pihak kerajaan dalam sama-sama membendung penularan COVID-19 adalah antara tanggungjawab bersama secara istiqamah dan perlu ditaati.
Sifat ini perlu diamalkan bagi memudahkan dan mempercepatkan kita mengharungi era pandemik yang penuh cabaran ini sekali gus menghasilkan keberkatan dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.
“Sewajarnya kita bersabar, meningkatkan semangat mematuhi arahan-arahan atau panduan dan nasihat daripada pihak yang berkuasa, terutama Kementerian Kesihatan demi kepentingan bersama.
“Dengan berbekalkan kesabaran, Allah akan merahmati kita dan akan segera membebaskan kita daripada wabak ini sepenuhnya,” jelas Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam pada 20 April 2020.
Perbanyakan amalan semasa wabak
Dalam tempoh kita mematuhi arahan pihak kerajaan yang telah ditetapkan, kita juga perlu mengamalkan terapi kejiwaan seperti sentiasa membaca Al-Quran, beristighfar, berdoa, bertaubat serta membaca Yasin. Sebagaimana firman Allah SWT:

“Hai orang-orang yang beriman taatilah rasul (Nya) dan ulil amri di antara kamu” Dalam Surah An-Nisa, Ayat 59.
Menyentuh dalam hadis Rasulullah SAW, Ibnu Umar meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Seorang muslim sahib mendengar dan taat dalam perkara yang dia sukai atau benci selama tidak diperintahkan untuk bermaksiat. Apabila diperintahkan untuk bermaksiat, maka tiada ada kewajiban mendengar dan taat.”
(Hadis, riwayat Bukhari dan Muslim)
Ketika negara kita masih bergelut membendung penularan wabak, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam juga pernah bertitah pada 13 April 2020;
“Melalui kesempatan ini, Beta ingin menganjurkan supaya kita sama-sama melazimkan diri membaca Surah Yasin selain surah-surah yang lain dalam Quran. Kerana Yasin fadilatnya sangat banyak untuk keselamatan kita di dunia dan akhirat. Insya-Allah, dengan Yasin juga COVID-19 akan berundur meninggalkan kita dan negara.”
Laksanakan peranan dan tanggungjawab
Demi memastikan keselamatan diri, keluarga dan masyarakat di seluruh negara dari sebarang risiko jangkitan, usaha mencegah penularan jangkitan merupakan satu tanggungjawab bersama, di mana ia dapat dijayakan dengan mengawal diri dan taat untuk mematuhi segala arahan yang ditetapkan.
Di sebalik ketaatan yang kita laksanakan, pasti ada hikmah yang akan dicapai.
Antaranya, kita akan memiliki hati dan fikiran yang lebih tenang, keselamatan diri dan keluarga akan lebih terjamin dan risiko untuk terjadinya hal-hal yang buruk dan merugikan akan berkurangan.
Di samping itu juga, kita akan dihormati dan menjadi contoh teladan yang baik dan mendapat pahala dan ganjaran di sisi Allah SWT.
Patuhi nasihat dan arahan kerajaan
Kementerian Kesihatan sudah berkali-kali mengingatkan kepada orang ramai agar jangan leka dan lalai pada musim penularan kali ini.
Dengan itu orang ramai adalah dinasihatkan untuk sentiasa mengamalkan langkah-langkah seperti mengekalkan tahap kebersihan diri, tidak keluar rumah tanpa keperluan dan mengelakkan diri berada di tempat ramai.
Semasa keluar rumah atau di tempat awam, orang ramai diseru untuk sentiasa memastikan memakai pelitup muka dan sentiasa mematuhi arahan penjarakan fizikal kerana ini juga memainkan peranan yang sangat penting.
Mematuhi nasihat dan arahan ini juga dapat melindungi dan mendidik ahli keluarga dengan norma baharu.
Di samping menyahut arahan dari pihak kerajaan, sebagai rakyat dan penduduk di negara ini sentiasa memantau kesihatan diri dan ahli keluarga dan menghubungi talian 148 dan mendapatkan rawatan jika memiliki sebarang gejala.