Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Sabar ketika tunai ibadah haji

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 MEI – Jika ingin memperolehi ganjaran daripada Allah SWT, hendaklah mengerjakan ibadah haji dengan ikhlas, bersungguh-sungguh dan berhati-hati agar ibadah haji yang dikerjakan mendapat haji yang mabrur.

    “Haji yang mabrur itu ganjarannya ialah syurga, tempat yang penuh dengan kenikmatan dan kebahagiaan,” tegas khatib semasa menyampaikan khutbah Jumaat bertajuk Ibadah Haji, Satu Pengorbanan, hari ini.

    Khatib turut menjelaskan, maksud berkemampuan bukan setakat bererti mempunyai perbelanjaan yang cukup untuk diri sendiri semasa menunaikan fardu haji sahaja, tapi hendaklah berkemampuan untuk menyediakan nafkah dan perbelanjaan yang cukup untuk sara hidup bagi orang yang di bawah tanggungan yang ditinggalkan.

    “Inilah erti pengorbanan yang harus dihadapi oleh para jemaah yang hendak menunaikan ibadah haji, mereka bukan sahaja perlu membelanjakan wang yang banyak, malah turut berkorban masa dan tenaga serta perasaan kerana meninggalkan keluarga terutama anak-anak yang masih kecil semata-mata untuk menyahut seruan dan perintah Allah,” jelasnya.

    Selain itu, khatib turut mengingatkan, apabila bakal-bakal jemaah haji sudah berazam untuk menunaikan ibadah haji, wajiblah bertaubat dengan segera iaitu taubat daripada segala dosa dan kejahatan yang telah dilakukan pada masa lalu.

    “Selain berazam dengan tekad baharu untuk tidak lagi mengulanginya pada masa-masa akan datang,” tambahnya.

    Khatib seterusnya berkata, bakal jemaah haji di negara ini telah mengikuti kursus-kursus ibadah haji dengan mempelajari segala rukun haji, wajib haji, sunat haji dan segala adab serta perkara yang boleh membatalkan ibadah haji.

    Dengan ilmu yang telah dipelajari, ia akan dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya dan tidak terikut-ikut atau meniru apa yang orang lain lakukan, tanpa berpandukan ilmu yang dipelajari.

    Khatib juga mengingatkan bakal jemaah haji untuk memastikan kesihatan masing-masing dengan mengamalkan cara hidup sihat, bersenam, menjaga pemakanan, rehat yang cukup, mengikut arahan atau nasihat doktor perubatan dan lainnya.

    Ini kerana kesihatan itu sangat penting bagi memastikan bakal jemaah haji dapat melaksanakan pekerjaan haji dengan sempurna, lebih-lebih lagi ibadah haji tersebut sebahagian besarnya memerlukan tenaga yang bukan sedikit.

    “Para jemaah haji apabila berada di Tanah Suci, sememangnya banyak dugaan dan rintangan yang akan dihadapi, mungkin ada yang menghadapi kepayahan dan kesulitan kerana tidak biasa dengan keadaan bersesak-sesak atau berasa kurang selesa kerana kekurangan kemudahan atau terpaksa berhadapan dengan kerenah orang sekeliling yang mungkin tidak menyenangkan dan sebagainya,” ujar khatib.

    Dalam perkara ini, jelas khatib, benteng yang paling penting adalah sifat sabar dan sentiasa bersyukur, jangan mudah mengeluh atau merungut.

    “Banyakanlah bersabar dan bersyukur kerana hanya dengan bersifat demikian, bakal jemaah haji akan mendapat menghadapi apa juga masalah, rintangan dan cubaan yang timbul dengan tenang dan penuh keredaan,” jelasnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...