Tuesday, March 18, 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    SABATI adakan lawatan muhibah

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OGOS – Rombongan ahli-ahli Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-isteri (SABATI) yang dalam rangka lawatan muhibah selama dua hari ke Negara Brunei Darussalam telah mengadakan lawatan ke Pusat Perempuan dan Kanak-kanak, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) dan seterusnya ke Yayasan Kanser Kanak-kanak Brunei (YASKA), hari ini.

    Turut mengiringi rombongan yang diketuai oleh isteri Ketua Menteri Negeri Sarawak, Datin Amar Hajah Juma’ani binti Tun Tuanku Haji Bujang selaku presiden SABATI, ialah ahli-ahli Kumpulan Isteri Menteri-menteri Kabinet, Timbalan-timbalan Menteri, Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap dan Ahli-ahli Bersekutu yang diketuai oleh Pengerusi II, Datin Paduka Hajah Jahrah binti Haji Mohamad.

    Turut hadir sepanjang lawatan ialah isteri Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Rosita Ismail.

    Ketibaan rombongan SABATI berserta sebahagian ahli Kumpulan Isteri Menteri-menteri Kabinet, Timbalan-timbalan Menteri, Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap dan Ahli-ahli Bersekutu di Hospital RIPAS telah dialu-alukan oleh isteri Menteri Kesihatan, Datin Dr Hajah Noraslinah binti Haji Ramlee.

    Turut mengalu-alukan rombongan ialah Ketua Pegawai Eksekutif Hospital RIPAS, Haji Abdul Khalid As’ari bin Haji Azahari; Ketua Jabatan Perbidanan dan Sakit Puan, Dr Hajah Siti Noor Azmah binti Abdullah; Ketua Jabatan Pediatrik, Dr Soon Ing Shian serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Kesihatan dan para jururawat hospital tersebut.

    Rombongan juga mengunjungi YASKA di hospital berkenaan di mana ketibaan mereka telah dialu-alukan oleh Konsultan Onkologi Pediatrik yang juga Penasihat YASKA, Dr Hajah Norehan binti Haji Johari dan Timbalan Presiden YASKA, ‘Tsara Nawarrah Abdullah Chen.

    Sejurus tiba, rombongan mendengarkan taklimat mengenai latar belakang YASKA serta perkhidmatan penjagaan dan rawatan berkualiti yang diberikan kepada kanak-kanak berkenaan.

    Lawatan tersebut bertujuan untuk meninjau secara dekat kemudahan terkini yang disediakan di Pusat Perempuan dan Kanak-kanak dan YASKA dalam mempertingkatkan lagi kualiti kesihatan khususnya bagi kaum wanita dan kanak-kanak.

    Selain itu, lawatan muhibah berkenaan dapat mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan pegawai dan kakitangan pusat berkenaan dan YASKA dalam menghargai sumbangan mereka kepada pesakit dan kanak-kanak berkenaan.

    Rombongan SABATI ketika melawat YASKA.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda