Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Achong Tanjong
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Julai – Sabli Food Industries (B) Sdn Bhd, hari ini, telah menyumbangkan peralatan dapur dalam bentuk pengadun dan ketuhar kepada Sekolah Menengah Masin, yang berlangsung di Bilik Persidangan, Tingkat Bawah, Sabli Food Industries (B) Sdn Bhd, di Perindustrian Lambak Kanan.
Sumbangan berkenaan telah disampaikan oleh Pengerusi Kumpulan Syarikat-syarikat Sabli, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid @ Haji Sabli bin Haji Arsad, yang juga merupakan ahli Majlis Mesyuarat Negara, kepada Pengetua Sekolah Menengah Masin, Ivan Moore.
Turut hadir pada majlis itu ialah pegawai-pegawai dari Jabatan Sekolah-sekolah, pihak pengurusan Sekolah Menengah Masin dan guru-guru kelas Program Pra-Vokasional.
Yang Berhormat Haji Abdul Hamid @ Haji Sabli, dalam ucapannya berkata bahawa sumbangan berkenaan adalah sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab korporat sosial syarikat mereka bagi menyokong Program Pra-Vokasional dan memperkasakan individu dengan keperluan khas.
Beliau berharap dengan adanya peralatan yang didermakan, para pelajar dan guru-guru kelas dapat menghasilkan roti untuk dijual. “Ini akan membantu pelajar membangunkan bakat keusahawanan dan mempelajari kemahiran kerja asas,” jelasnya.

Beliau juga menggesa pihak-pihak lain seperti Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan sektor-sektor swasta untuk tampil ke hadapan bagi membantu pelajar-pelajar yang memerlukan bantuan khas di negara ini melalui program tersebut.
Pada bulan Mei 2017, empat pelajar Program Pra-Vokasional, dua guru kelas dan satu guru bantuan dari Sekolah Menengah Masin terpilih telah menyiapkan latihan 12 minggu mereka di Kedai Pastri Sabli yang terletak di Kampung Limau Manis.
Yang Berhormat Haji Abdul Hamid @ Haji Sabli menunjukkan minat dengan menawarkan peluang kepada pelajar dan guru untuk mengambil bahagian dalam pengalaman kerja jangka pendek dan menjalani penempatan kerja dalam jangka panjang di dalam syarikat berkenaan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporatnya.
Untuk membolehkan pelajar Program Pra-Vokasional mempelajari kemahiran kerja asas, Sabli Food Industries (B) Sdn Bhd kini sedang bekerjasama dengan empat buah sekolah menengah kerajaan terpilih untuk menyediakan peluang kepada pelajar Program Pra-Vokasional untuk membungkus rempah di sekolah sejak tahun 2015.
Pada majlis itu, Pengetua Sekolah Menengah Masin meluahkan penghargaannya bagi pihak sekolah kepada Sabli Food Industries (B) Sdn Bhd atas sumbangannya dalam menyokong Program Pra-Vokasional.
Beliau juga berterima kasih kepada Unit Akademik, Jabatan Sekolah-sekolah kerana menyokong sekolah mereka melalui kerjasama antara Kedai Pastri Sabli dan Sekolah Menengah Masin yang membolehkan pelajar terpilih dalam Program Pra-Vokasional, guru kelas dan guru pelepasan untuk menjalani latihan singkat mengenai biskut, kek dan pastri di bawah Projek Pendedahan Kemahiran Kerja baru-baru ini dan mengatur penempatan kerja bagi pelajar-pelajar Program Pra-Vokasional.
Menurut Pegawai Pelajaran, Unit Akademik, Jabatan Sekolah-sekolah, Awang Andree Asmara bin Haji Abidin, latihan singkat di kedai pastri itu telah dianjurkan di bawah Projek Pendedahan Kemahiran Kerja yang dimulakan oleh Unit Akademik, Jabatan Sekolah-sekolah dengan kerjasama Sabli Food Industries (B) Sdn Bhd.
Projek berkenaan juga membolehkan syarikat tempatan untuk bekerjasama dengan sekolah dalam menyediakan peluang kepada pelajar Program Pra-Vokasional untuk mempelajari kemahiran kerja asas di sekolah seperti pembungkusan atau menjalani latihan pendek di syarikat yang bersekutu/bekerjasama.
Di majlis berkenaan, Ivan Moore juga menyampaikan sijil penghargaan bagi pihak sekolah kepada Pengerusi Kumpulan Syarikat-syarikat Sabli.