CARACAS, 30 OGOS – Sebahagian besar kawasan di Venezuela mengalami gangguan bekalan elektrik pada awal pagi Jumaat, menurut Menteri Komunikasi Freddy Nanez, yang menyalahkan kejadian itu ke atas ‘sabotaj’ terhadap grid nasional.
Venezuela sering mengalami gangguan bekalan elektrik, yang mana kerajaan Presiden Nicolas Maduro secara rutin menyatakan ia adalah konspirasi yang tidak terbukti untuk menggulingkannya.
“Kami melaporkan bahawa pada kira-kira jam 4:40 pagi hari ini, satu sabotaj elektrik telah berlaku di Venezuela, satu sabotaj terhadap sistem elektrik negara, yang telah menjejaskan hampir seluruh wilayah negara,” kata Nanez kepada saluran VTV yang dikendalikan oleh kerajaan.
“Kesemua 24 negeri melaporkan bekalan elektrik terputus secara keseluruhan atau sebahagian,” katanya.
Gangguan terburuk di seluruh negara yang melanda Venezuela pada Mac 2019, berlangsung selama beberapa hari.
Wilayah barat seperti Tachira dan Zulia, yang pernah menjadi pusat industri minyak, mengalami gangguan bekalan elektrik setiap hari.
Kerajaan Maduro telah menuduh Amerika Syarikat dan pembangkang politik sebagai dalang dalam kejadian yang berlaku.
Namun, pemimpin pembangkang dan pakar menyalahkan rasuah serta kekurangan pelaburan dan kepakaran sebagai punca gangguan tersebut. – AFP
