DHAKA, 19 DIS – Sekurang-kurangnya empat orang maut dalam kebakaran di dalam kereta api yang sesak di ibu negara Bangladesh hari ini, di mana polis menuduh aktivis pembangkang sengaja mensabotaj menjelang pilihan raya umum.
Ketua polis kereta api Dhaka, Anwar Hossain berkata mangsa terbakar hingga mati dan gambar yang dikeluarkan oleh perkhidmatan bomba menunjukkan api mula merebak dari gerabak kereta api.
“Kami telah menemui empat mayat,” beritahu Hossain kepada AFP.
“Kami mengesyaki ia satu tindakan sabotaj. Kami mengesyaki mereka yang mengadakan mogok dan sekatan pengangkutan dan sekutu mereka telah melakukan ini.”
Bakul Akhter, penumpang berusia 50 tahun dalam kereta api penuh sesak yang terbakar ketika tiba di Dhaka sejurus sebelum subuh hari ini, memberitahu AFP, “Kami diselubungi asap… semua orang bergelut untuk bernafas.”

Akhter telah terpisah daripada anak lelakinya yang berusia 20 tahun, Khokon Mia, dalam keadaan kelam-kabut itu.
Polis berkata ia adalah kes kedua serangan disyaki ke atas kereta api dalam tempoh seminggu lalu.
Pegawai menahan sekurang-kurangnya tujuh orang anggota pembangkang, Parti Kebangsaan Bangladesh (BNP), berikutan insiden kereta api tergelincir yang mengorbankan seorang di utara ibu negara pada 13 Disember lalu.
BNP, serta parti lain termasuk Jamaat-e-Islami, parti Islam terbesar negara itu, akan memulau pilihan raya pada 7 Januari.
Mereka telah mengadakan mogok secara berkala di seluruh negara dan sekatan pengangkutan untuk mendesak pengundian di bawah kerajaan neutral, dengan mengatakan tidak ada pilihan raya yang bebas dan adil di bawah pemerintahan Perdana Menteri, Sheikh Hasina. – AFP

