Pelakon dan pengarah Sabri Yunus teruja dengan kemampuan dimiliki robot humanoid selepas berlakon bersama buat kali pertama dalam filem pendek berjudul Keluarga Techlympics.
Menurut Sabri atau nama sebenarnya, Muhammad Sabri Yunus, 64, dia tidak menyangka robot yang diberi nama Nexora dan Kancil memiliki keupayaan seperti mahkluk bernyawa.
“Ini adalah pengalaman pertama saya berlakon dengan robot. Melihat kemampuannya yang mampu bergerak seperti manusia dan haiwan saya terkejut.
“Kita biasa berlakon dengan manusia, tetapi dengan robot bagaimana mahu cipta emosi. Itulah cabarannya, sebagai pengarah saya perlu bijak menggantikannya dengan pergerakan robot mengikut jalan cerita,” katanya.
Kata Sabri, selepas seharian menjalani penggambaran di Sungai Besar, Kuala Selangor bersama robot berkenaan dia mula menyedari kepentingan sains dan teknologi sekali gus membuka mindanya ke arah itu.
Jelasnya, Robot humanoid Nexora merupakan ikon terbaharu selepas robot Kancil untuk program Malaysia Techlympics yang memasuki tahun keempat penganjurannya.
Malaysia Techlympics satu program yang dilaksana oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk memberi pendedahan dan menarik minat anak muda dalam bidang Sains, Teknologi dan Inovasi.
Menerusi program ini golongan muda berusia seawal tujuh tahun sehingga 30 tahun bertanding dalam pelbagai kategori antaranya, kecerdasan buatan (AI), Internet Kebendaan (IoT), robotik, dron, pengekodan dan pelbagai lagi.
Sebagai karyawan seni dia rasa berbesar hati atas penghormatan yang diberikan untuk sama-sama terlibat dalam program seumpama ini.
Tambahnya, selain berhibur penonton juga akan mendapat mesej yang ingin disampaikan iaitu untuk memperkasakan lagi bidang STEM kepada golongan muda.
“Bagi saya idea untuk menggabungkan robot dan juga filem adalah sesuatu yang menarik. Ini kerana medium seni yang dibalut elemen hiburan lebih mudah untuk dekat dengan orang ramai,” tuturnya. Selain Sabri, filem ini turut dibintangi isterinya, Angeline Tan. – Agensi

