Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Dis – Dayang Sabrina Eelini binti Haji Mayalin muncul juara dalam pertandingan nyanyian Cuckoo’s Stardom Quest 3 peringkat akhir kelmarin yang berlangsung di Amfiteater Taman Permainan Jerudong.
Sementara itu Bridget Ang pula berada di tempat kedua dan Eric Tan Yi Yong menduduki tempat ketiga.
Pertandingan akhir malam tadi dimulakan dengan persembahan nyanyian secara duet oleh 10 finalis sebelum lima peserta teratas terpilih menyanyikan lagu mereka secara solo bagi melayakkan diri mereka ke tiga teratas.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyaksikan pertandingan berkenaan dan seterusnya berkesudian menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong.
Juara Cuckoo’s Stardom Quest 3 menerima hadiah berupa trofi, wang tunai $1500 dan barangan elektrik Cuckoo, sementara naib juara dan peserta di tempat ketiga masing-masing menerima hadiah berupa trofi dan wang tunai $1000 dan $500 beserta barangan Cuckoo.
Sementara itu turut memeriahkan acara pada malam kelmarin ialah beberapa persembahan daripada penari Studio Eleve dan Dreamz MKZ selain penampilan istimewa daripada juri jemputan pada malam berkenaan, Ricqo D’Vocalist.
Acara yang diadakan bersempena dengan Festival Disember Brunei 2018 tersebut turut menerima tajaan dari Cuckoo International (B) Sdn Bhd, Bank of China, PEPSI, Hyundai, Jollibee Brunei, Pure Nectar, Mohan’s Carpet Palace dengan kerjasama D’Sunlit Sdn Bhd, Brunei Press Sdn Bhd (Borneo Bulletin dan Media Permata), Tech Haven, Korea Lee So Ra Sdn Bhd, Studio Eleve, Fitness Zone, Digi-Mark Enterprise, Maxtrack, Chua Interior Furnishing Company, Annajat Complex, Opixel Production, Aewon Garment and Embroidery, Begawan Athlete Enterprise dan RedBull.

