Oleh HM Yusof
TUTONG, 27 Jun – Penduduk Kam-pUng Sengkarai dan sekitarnya merasa bertuah di hari lebaran ini kerana berkesempatan meng-adakan solat sunat Aidilfitri di masjid baru, Masjid Pengiran Anak Haji Mohamed Alam, yang telah dibuka rasmi oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 7 April lalu.
Yang menariknya, satu amalan yang tidak ada atau jarang terdapat di masjid-masjid lain iaitu ‘Sadak.’
Amalan ‘Sadak’ merupakan salah satu cara mengutip sedekah yang masih dipraktikkan setiap tahun ketika menunaikan solat sunat Aidilfitri. Biasanya tiga ahli jawatankuasa takmir akan melalui barisan jemaah sebelum solat dijalankan, sambil mengindung kain pelikat yang diikat pada pinggang mereka.
Para jemaah yang dilintasi mereka akan menghulurkan derma berupa wang kertas atau duit syiling seikhlas hati.
Derma yang dikumpulkan akan dikira selesai acara sembahyang sunat Aidilfitri dan disimpan dalam tabung khas masjid bagi membiayai sebarang aktiviti atau keperluan masjid.
