ROM, 30 APRIL – Alexis Saelemaekers mencuri satu mata untuk AC Milan selepas menyamakan kedudukan 1-1 di Roma pada masa kecederaan, hari ini.
Pemain tengah Belgium, Saelemaekers menyumbang masuk bola ke gawang pada minit ketujuh masa tambahan untuk mengecewakan peminat di Stadio Olimpico dan memastikan Milan kekal berada di kedudukan Liga Juara-Juara.
Milan, yang berada di tangga kelima, berada di atas Roma dengan perbezaan jaringan gol hasil rembatan Saelemakers yang menyamakan jaringan rendah Tammy Abraham pada minit ke-94.
Roma menyangka mereka telah memenangi perlawanan meskipun dilanda dengan krisis kecederaan dengan Chris Smalling, Diego Llorente, Rick Karsdorp kesemuanya diketepikan dan Georginio Wijnaldum juga mengalami kecederaan, sementara pemain bintang Paulo Dybala hanya berada di bangku simpanan.
Pasukan kendalian Jose Mourinho juga kehilangan pemain pertahanan Albania, Marash Kumbulla selepas 15 minit perlawanan berlangsung dan sebelum separuh masa kedua bermula Roma terpaksa membawa masuk Stephen El Shaarawy untuk menggantikan Andrea Belotti, yang mengalami kecederaan semasa berebut bola dengan Fikayo Tomori.
Mourinho berkata dia bangga dengan persembahan anak buahnya namun kecewa kehilangan dua mata.
“Kami bukan pasukan yang kaya, kami tidak berbelanja besar, setiap kali kami kehilangan pemain ia bererti kami menghadapi masalah besar,” kata Mourinho.
Roma juga perlu bermain tanpa Nemanja Matic di Monza pada pertengahan minggu selepas pemain Serbia itu mengasari Ismael Bennacer dan menerima kad kuning pada separuh masa pertama.- AFP