Tuesday, March 18, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Safawi intai Piala Malaysia

    KUALA LUMPUR, 2 OGOS – Selepas membantu Johor Darul Ta’zim (JDT) mengekalkan kejuaraan Liga Super bagi musim keenam berturut-turut, pemain sayap Muhammad Safawi Rasid mengintai peluang untuk meraih trofi Piala Malaysia bersama pasukan berkenaan.

    Pemain kebangsaan itu yang pernah menjulang trofi Piala Malaysia bersama JDT pada 2017 berkata, rakan sepasukan berada dalam prestasi terbaik dan menyasarkan untuk meraih kemenangan dalam kesemua enam perlawanan peringkat kumpulan.

    “Bagi kami, setiap perlawanan diibaratkan sebagai final dan kami tidak akan mengambil mudah. Saya sering mengingatkan diri bahawa bola itu bulat, apa sahaja boleh terjadi kerana pengakhirannya adalah menang atau kalah sahaja.

    “Oleh itu kami perlu sentiasa bersedia untuk menghadapi cabaran tidak kira siapa jua pasukan lawan,” jelas Muhammad Safawi menerusi posting terbaharu dalam laman Facebook JDT, hari ini.

    Dalam pada itu, Muhammad Safawi, 22 mengakui pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjadi tunjang kekuatan skuad Harimau Selatan dalam meraih pelbagai kejuaraan selama ini.

    “DYAM Tunku Mahkota Johor juga sentiasa memberi semangat kepada kami untuk melakukan sesuatu yang terbaik sama ada di dalam atau di luar padang,” kata Muhammad Safawi.

    JDT yang diundi dalam kumpulan B Piala Malaysia akan memulakan saingan dengan melayan kunjungan pasukan Liga Premier, UiTM FC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini.

    Untuk rekod, JDT muncul juara Piala Malaysia buat julung kalinya pada 2017 selepas mengalahkan Kedah 2-0 pada aksi final di Stadium Shah Alam. – Bernama

    Muhammad Safawi Rasid melompat mengelak terjahan pemain Terengganu FC Mohamad Nabil Ahmad Latpi pada Perlawanan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin pada 19 Julai lalu. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda