Bekas pemain bola sepak profesional, Safee Sali, 41, mengakui mengalami kejutan budaya ketika mula beralih ke dunia penyampaian radio, dua tahun lalu.
Safee mengendalikan segmen Super Safee ERA di stesen radio Era FM pada setiap hujung minggu berkata, dia masih lagi menyesuaikan diri dengan dunia hiburan.
“Transisi daripada dunia bola sepak ke bidang penyampaian radio memang susah sebab kedua-duanya cabang berbeza.
“Saya masih lagi belajar cara penyampaian melalui penyampai radio lain,” katanya yang ditemui pada majlis IFtar @ Masjid Zayan FM dan Era FM di Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, di sini, baru-baru ini.
Menurut Safee, dia tidak pernah terfikir mencuba bidang lain selepas mengumumkan persaraan daripada dunia bola sepak pada Februari 2023. Namun, katanya, rezeki datang bergolek sehari selepas pengumuman persaraan dilakukan, lapor BH Online.

– mStar
“Saya tak pernah terfikir dalam menjadi penyampai radio, apatah lagi, saya seorang ‘introvert’.
“Tapi, saya cabar dan paksa diri ketika menerima lamaran Era FM.
“Saya ingin membuka mata atlet lain, selain sukan banyak lagi bidang lain boleh diterokai dan bukan selama-lamanya kena jadi atlet,” katanya.
Ujarnya lagi, jika tiada lagi peluang dalam bidang sukan, banyak lagi peluang lain menanti, tetapi harus berani mencuba kerana dia sendiri sudah membuktikannya.
Selain itu, kata Safee, amat penting untuk ahli sukan mempunyai perancangan masa depan kerana kerjaya dalam bidang sukan tidak bertahan lama. – Agensi