Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Safety XR perkasa latihan keselamatan melalui VR, AR

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JAN – Inovasi merupakan nadi kepada kemajuan dan pelancaran Safety XR merupakan bukti komitmen ke arah memastikan kesejahteraan individu dalam pelbagai industri terus diberikan keutamaan.

    Pelancaran platform berkenaan merupakan saat yang bersejarah dalam bidang latihan keselamatan di mana ia menggabungkan teknologi extended reality (XR) dengan tumpuan khusus untuk meningkatkan protokol keselamatan.

    Perkara itu dinyatakan oleh Pengurus Besar Makmal Inovasi Brunei (BIL),
    Freddie Ting Lik Wei dalam ucapan alu-aluannya semasa Majlis Pelancaran Safety XR yang berlangsung di Dewan Ampiteater, BIL, Kampung Anggerek Desa, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan sama-sama menyempurnakan pelancaran Safety XR ialah Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi) di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Dayang Mazriyani binti Haji Abdul Ghani.

    Dalam ucapan alu-aluannya lagi, Freddie Ting menyatakan bahawa menerusi pengalaman yang mengasyikkan itu, ia akan membolehkan kita untuk mensimulasikan dan menangani bahaya yang mungkin berlaku dalam persekitaran yang terkawal dengan menyediakan platform latihan yang unik kepada individu-individu di serata industri termasuk pembuatan, pembinaan dan penjagaan kesihatan.

    Dayang Mazriyani yang hadir selaku tetamu kehormat pada Majlis Pelancaran Safety XR, kelmarin. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Freddie Ting Lik Wei ketika menyampaikan ucapan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Han Sangil ketika menyampaikan ucaptama. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Menurutnya lagi, Safety XR bukan sahaja akan merubah cara kita berlatih dan mempersiapkan diri untuk menghadapi risiko-risiko yang mungkin berlaku tetapi juga memperkasa individu untuk membuat keputusan yang lebih baik apabila berhadapan keadaan yang mencabar.

    Sementara itu, Pengasas Bersama Rumine Corporation, Dayang Sarinah binti Ziziumiza dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa pelancaran Safety XR merupakan satu detik amat bersejarah bagi Rumine Corporation, MAED Training dan Young & Smart Technology (YST) di mana ia merupakan platform perkhidmatan pendidikan inovatif untuk latihan keselamatan yang mendalam.

    Beliau turut menjelaskan bahawa projek berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif projek kerjasama ASEAN-ROK yang menggabungkan bakat serta sumber dari Rumine Corporation, MAED Training dan YST dari Korea Selatan yang mencerminkan kuasa kolaborasi antarabangsa dan komitmen bersama untuk meningkatkan amalan keselamatan pada skala global.

    Safety XR merupakan projek kerjasama antara Rumine Corporation, MAED Training dan YST, yang bermatlamat untuk merevolusikan latihan keselamatan melalui teknologi yang mendalam.

    Platform itu menggunakan virtual reality (VR), augmented reality (AR) dan XR untuk mensimulasikan bahaya dan memberikan pengalaman langsung dalam persekitaran yang selamat dan terkawal.

    Rumine Corporation merupakan perisian teknologi yang telah memenangi anugerah dalam bidang realiti maya seperti AR, VR, mixed reality (MR), XR dan gimifikasi.

    MAED Training ialah perniagaan sosial yang bertujuan bagi mendidik dan menggalakkan program pertolongan cemas, menjadikannya boleh diakses oleh semua lapisan masyarakat.

    YST mengkhususkan diri dalam penyiaran dan penyelesaian komunikasi, penyelesaian sukan AI, perkhidmatan geganti OOT serta pembangunan dan pengeluaran yang mendalam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda