JOHOR BAHRU, 18 JUN – Dua pemain legenda Johor Darul Ta’zim FC (JDT) Safiq Rahim dan Farizal Marlias mengucapkan selamat tinggal kepada kelab itu selepas beberapa tahun menyertai skuad Harimau Selatan.
Perpisahan kedua-dua pemain itu diumumkan menerusi hantaran dimuat naik di akaun Facebook rasmi JDT, yang mengiktiraf sumbangan, kepimpinan serta pencapaian mereka dalam membantu kelab itu menjadi kuasa besar bola sepak di Malaysia dan rantau ini.
Safiq, 37, menyertai JDT pada 2013 dan memainkan peranan penting dalam kejayaan kelab itu termasuk mengetuai pasukan merangkul kejuaraan berprestij Piala AFC 2015 iaitu kejayaan pertama kelab dari Asia Timur dalam sejarah kejohanan berkenaan.
Sepanjang 270 penampilan bersama JDT, pemain tengah itu menjaringkan 59 gol dan melakukan 68 bantuan gol serta menyumbang kepada pelbagai kejuaraan termasuk sembilan gelaran Liga Super, tujuh Piala Sumbangsih, empat Piala Malaysia, empat Piala FA dan satu Piala AFC.
Farizal, 38, menyarung jersi JDT sejak 2015 mengukuhkan reputasinya sebagai antara penjaga gol terbaik Malaysia dengan mencatat 102 perlawanan tanpa bolos daripada 222 penampilan.
Sepanjang karier bersama JDT, Farizal memenangi 10 kejuaraan liga, sembilan Piala Sumbangsih, lima Piala Malaysia, empat Piala FA dan Piala AFC 2015. – Bernama
