Pelakon Safwan Nazri berkongsi berita gembira bakal menimang cahaya mata kedua apabila isterinya iaitu Lyna Khairul kini sedang hamil tujuh bulan.
Tidak menyangka bakal menambah cahaya mata dalam masa terdekat, Safwan atau Muhammad Safwan Mohammad Nazri, 30, menganggap kehadiran anak kedua itu merupakan kurniaan rezeki daripada Allah SWT.
“Alhamdulillah isteri saya sedang hamil tujuh bulan. Insya-Allah anak kedua kami akan dilahirkan pada awal Oktober ini.
“Saya terkejut dan tak sangka kerana ingatkan nak relaks dulu sebelum tambah zuriat. Tetapi tiba-tiba melekat pula, tak mengapalah saya anggap ia sebagai rezeki.
“Untuk kandungan kali ini, tidak ada sebarang tanda-tanda. Tahu-tahu sahaja isteri beritahu yang kami bakal menimang cahaya mata kedua,” katanya ketika dihubungi mStar.
Dalam pada itu, Safwan memberitahu dia memasang impian untuk memiliki zuriat yang ramai dan tidak kisah sekiranya jarak umur anak-anak agak rapat.
Kata pelakon filem Malbatt: Misi Bakara ini, jarak usia anak-anaknya yang dekat akan membuatkan hubungan adik-beradik menjadi lebih akrab.
“Sudah tentu saya gembira sangat sebab saya memang nak anak ramai. Kalau boleh tak mahu jarak umur terlalu jauh.
“Kalau lihat pada adik-beradik kami, beza dalam setahun dua tahun sahaja. Saya anggap jarak umur yang dekat ini membuatkan hubungan anak-anak nanti lebih akrab,” ujarnya. – Agensi
