PARIS, 29 APRIL – Bekas juara dunia, Peter Sagan muncul di kedudukan teratas dalam saingan pecut di peringkat pertama Jelajah de Romandie semalam.
Ineos Rohan Dennis berjaya mengekalkan kedudukan keseluruhan selepas memenangi saingan prolog Selasa lalu.
Sagan yang mewakili Bora-Hansgrohe, menamatkan perlumbaan di depan pelumba Itali, Sonny Colbrelli dan Patrick Bevin selepas perlumbaan sejauh 168 kilometer dari Aigle ke Martigny di Switzerland.
Perlumbaan minggu ini menyaksikan kemunculan semula Sagan selepas berehat sebaik menamatkan saingan Jelajah Flanders awal bulan ini.
Sagan 31 tahun dijangkiti COVID-19 pada awal tahun dan bergelut dalam kempen perlumbaan klasik.
“Ia sangat menggembirakan selepas tiga minggu tanpa perlumbaan tapi datang ke sini dan menang. Ia sebenarnya adalah satu-satunya peringkat yang sesuai dengan saya kerana selepas ini ia sangat sukar,” kata Sagan. – AFP
