Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sahabat atau pengkhianat? Cerita di sebalik ujian

    Assalamualaikum buat para pembaca ruangan istimewa ini. Sekadar ingin berkongsi, di mana minggu lalu merupakan salah satu minggu paling mencabar dalam hidup saya.

    Mana tidaknya, saya baru sahaja melalui ujian peringkat saringan demonstrasi mengajar, ujian yang menentukan masa depan saya sebagai seorang pendidik. Setelah berbulan-bulan melakukan persiapan rapi, hari yang dinantikan akhirnya tiba dan saya memberikan yang terbaik.

    Namun, di sebalik kejayaan kecil itu, terdapat cerita lain yang menghancurkan hati saya.

    Sahabat baik saya, yang seharusnya menyokong dan membantu, ternyata memiliki agenda tersembunyi. Dia juga akan mengikuti ujian yang sama minggu depan dan dia tahu betapa saya telah bekerja keras untuk ujian ini.

    Sehari selepas ujian saya, dia datang ke rumah dengan alasan ingin tahu bagaimana ujian tersebut berjalan. Sebagai seorang sahabat, saya dengan tulus menceritakan setiap butiran, dari soalan-soalan yang ditanyakan hinggalah strategi mengajar yang saya gunakan. Saya percaya padanya sepenuh hati, yakin bahawa dia hanya ingin belajar dan mempersiapkan diri dengan lebih baik.

    Gambar Freepik

    Namun, apa yang terjadi kemudian benar-benar tidak disangka. Seminggu kemudian, saya mendengar dari rakan-rakan lain bahawa dia berjaya lulus dengan cemerlang. Saya merasa bangga dan gembira untuknya, sehingga saya mengetahui bahawa dia menggunakan hampir semua strategi dan jawapan yang saya kongsikan dengannya.

    Saya berasa dikhianati. Dia mengambil kesempatan daripada kepercayaan saya dan memanfaatkannya untuk keuntungannya sendiri. Bukannya merasa bangga, saya malah merasa bodoh kerana telah begitu terbuka padanya. Saya merasa seperti diperalat, seperti orang yang sudah tidak berguna lagi setelah kelebihannya diambil.

    Saya mendekatinya dan cuba berbicara dengan baik, berharap dia akan mengakui kesalahannya dan meminta maaf. Namun, yang saya terima hanya alasan dan pembelaan.

    Dia mengatakan bahawa semua orang berhak menggunakan maklumat yang mereka dapatkan untuk keuntungan mereka. Kata-katanya membuat hati saya semakin terluka.

    Walaupun perasaan dikhianati begitu menyakitkan, saya tahu saya akan menjadi lebih kuat dan bijak daripada pengalaman ini. Semoga suatu hari nanti, saya akan menemukan sahabat yang benar-benar tulus dan amanah, yang tidak akan mengambil kesempatan di atas kebaikan saya.

    Syikin

    NASIHAT DANG MP

    Perasaan dikhianati begini sememangnya menyakitkan. Apatah lagi dilakukan oleh sahabat baik sendiri.

    Keadaan ekonomi yang mendesak pada masa kini mungkin menyebabkan seseorang bertindak sedemikian. Pengalaman yang dikongsi Syikin memberi kita pengajaran yang baik supaya sentiasa berhati-hati pada masa hadapan.

    Dang MP berharap agar Syikin terus berusaha memperbaiki diri untuk bersedia menghadapi peluang yang akan datang. Teruskan mencari peluang-peluang pekerjaan lain dan sentiasa bersikap positif.

    Dang MP juga berharap Syikin dapat menambah lagi kenalan dan rakan-rakan kerana tidak dapat dinafikan peluang pekerjaan biasanya dikongsi melalui kenalan selain siaran media.

    Selamat berjaya!

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda