Sunday, April 13, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sahabat lama masih ada

    Assalamualaikum, aku nak curhat tentang seorang kawan baik lama aku. Dulu, nama kami sering disebut beriringan. Kalau orang sebut aku, namanya juga pasti menyusul. Kami membesar bersama di kampung yang sunyi tapi kaya dengan memori. Dari darjah satu hingga tingkatan lima, kami duduk sekelas, main bola di waktu petang dan belajar bersama sewaktu peperiksaan menjelang.

    Dia sekadar kawan, dia seperti saudara. Pernah suatu masa, bila aku hilang semangat lepas keputusan peperiksaan tidak seperti yang aku harapkan, dialah yang datang bawa air kotak dan senyuman. “Kau jatuh hari ni, tapi esok kau boleh bangun balik,” katanya. Kata-kata ringkas tapi cukup untuk aku bangkit semula.

    Namun, hidup ini tidak pernah statik. Selepas sekolah menengah, aku dapat tawaran menyambung pelajaran di tingkatan enam dan seterusnya ke universiti, manakala kawan aku memilih untuk bekerja terus demi membantu keluarganya. Dari situ, perlahan-lahan jarak antara kami bertambah bukan saja sekadar geografi, tapi juga emosi.

    Pada awalnya, kami masih berhubung. Video call setiap minggu, bertanya khabar, berkongsi cerita. Tapi lama-kelamaan, masa mencuri semuanya. Dia mula sibuk dengan kerja dan kehidupan barunya, aku pula tenggelam dalam dunia pengajianku. Mesej yang dulu dibalas sepantas kilat, kini hanya ‘seen’. Panggilan tidak dijawab, janji untuk bertemu selalu tertunda.

    Rasa rindu padanya menyesakkan. Tapi aku pendam. Aku fikir mungkin aku yang terlalu berharap. Mungkin, persahabatan kami sudah sampai noktahnya.

    Gambar Freepik

    Namun, satu petang, sewaktu aku pulang ke kampung, aku ternampak dia dari jauh, sedang duduk di kedai mamak, sedang ketawa dengan rakan-rakan barunya. Hati aku bergetar. Wajahnya masih sama, tapi aku terasa seperti orang asing. Aku hampir panggil namanya, tapi lidah kelu. Aku berlalu pergi, sambil menahan sebak yang bergumpal dalam dada.

    Beberapa hari selepas itu, telefon aku berbunyi.

    “Hai, lama tak jumpa. Rindulah nak lepak sama-sama.”

    Aku tak tahu nak balas apa. Tapi air mata yang jatuh lebih dulu memberi jawapan. Rupanya, walau sejauh mana kita hanyut dalam arus kehidupan, persahabatan yang ikhlas itu tak pernah benar-benar hilang. Ia mungkin sunyi, tapi tetap hidup menunggu saat untuk disambung semula.

    Zain

    NASIHAT DANG MP

    Waalaikumsalam Zain, terima kasih kerana berkongsi kisah yang begitu menyentuh hati dengan Media Permata. Persahabatan yang terbina sejak kecil, yang penuh kenangan dan sokongan adalah satu anugerah yang sangat bernilai.

    Kadang-kadang dalam perjalanan hidup, kita terpisah bukan kerana salah sesiapa, tapi kerana jalan yang dipilih berbeza. Namun itu tidak bermaksud kasih dan kenangan itu lenyap.

    Apa yang awda rasakan seperti rindu, sedih, rasa seperti dilupakan, semuanya adalah wajar dan normal. Ia adalah bukti betapa dalamnya dan tingginya nilai persahabatan itu buat awda. Dan apabila akhirnya terhubung semula, itulah tanda bahawa hubungan itu tidak pernah benar-benar padam. Cuma kadang-kadang kita hanya perlukan masa, ruang, dan sedikit keberanian untuk menyambung kembali tali persahabatan yang longgar akibat terpisah sementara.

    Zain, jangan biarkan rasa bersalah atau ego menjarakkan lagi hubungan itu. Sahabat sejati, walau lama terpisah, tetap akan merasa saling dekat bila hati masih jujur. Balaslah mesejnya dan pergilah bertemu dengannya. Berbuallah dengan mesra dan saling bertukar cerita.

    Nikmatilah saat pertemuan tersebut dan kuatkan kembali kasih sayang. Kadang satu pertemuan cukup untuk menghidupkan kembali seluruh memori dan rasa yang pernah ada. Gunakanlah kesempatan di Hari Raya ini untuk bertemu dan menguatkan ikatan persahabatan.

    Persahabatan seperti ini tidak datang selalu. Peliharalah ia, meskipun bentuknya mungkin tak sama seperti dulu. Yang penting, ikatan persahabatan masih terjalin dan terpelihara. Dan itu adalah lebih daripada cukup.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda