Tuesday, October 8, 2024
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Saham 7-Eleven Jepun naik susulan laporan pengambilalihan

    TOKYO, 7 OKT – Saham pemilik 7-Eleven dari Jepun melonjak hari ini selepas laporan media menyatakan bahawa syarikat tersebut sedang berusaha untuk mengukuhkan kedudukan mereka dalam pertarungan pengambilalihan, termasuk menjual pegangan dalam unit perbankannya.

    Seven & i, peruncit terbesar di Jepun, bulan lalu menolak tawaran pembelian awal daripada Alimentation Couche-Tard (ACT) dari Kanada, dengan alasan bahawa tawaran bernilai AS$40 bilion itu mengurangkan nilai perniagaan mereka dan berkemungkinan menghadapi sekatan daripada pengawal selia.

    Namun ACT, yang memiliki jenama pesaing Circle K, berikrar untuk meneruskan pembelian tersebut, yang akan menjadi pengambilalihan asing terbesar bagi syarikat Jepun.

    Saham Seven & i berakhir meningkat 2.55 peratus kepada 2,250.5 yen di Tokyo dalam perniagaan pagi, setelah melonjak lebih daripada tiga peratus pada satu ketika.

    Financial Times melaporkan hari ini bahawa Seven & i ‘sedang meneroka cara untuk meningkatkan harga sahamnya dan memperkukuhkan pertahanannya’ menjelang bidaan kedua yang dijangka dari ACT.

    Gambar Freepik

    Ia menyusuli laporan dalam media Jepun minggu lalu mengatakan kumpulan tersebut sedang mempercepatkan rancangan untuk menjual operasi pasar raya mereka, termasuk rangkaian ‘Ito-Yokado’.

    Langkah sedemikian akan membolehkan mereka memberi tumpuan kepada 7-Eleven, rangkaian kedai serbaneka terbesar di dunia, yang mengendalikan lebih 85,000 cawangan dengan kira-kira satu perempat daripadanya terletak di Jepun, kata akhbar perniagaan Nikkei hari ini.

    Penyiar awam NHK juga melaporkan minggu lalu bahawa Seven & i sedang mempertimbangkan untuk menjual saham dalam unit perbankannya untuk menambah nilai kumpulan tersebut.

    Sementara 7-Eleven bermula di Amerika Syarikat, francais itu telah dimiliki sepenuhnya oleh Seven & i sejak tahun 2005.

    Kumpulan tersebut akan mengumumkan pendapatan suku tahunan mereka pada Khamis, dengan ketua pegawai eksekutifnya dijadualkan mengadakan sidang akhbar dengan pengamal media.

    Seorang jurucakap syarikat enggan mengulas mengenai laporan berkenaan apabila dihubungi oleh AFP.

    Kementerian Kewangan Jepun pada bulan lalu telah mengisytiharkan Seven & i sebagai industri ‘teras’, satu langkah yang mungkin menjadikan pengambilalihan itu lebih sukar. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda