KUALA LUMPUR, 30 Nov – Saham AirAsia Bhd di Bursa Malaysia naik enam sen kepada RM3.23 pagi ini selepas syarikat penerbangan tambang rendah itu mengumumkan keputusan suku ketiga berakhir 30 Sept, 2017 yang meningkat.
Sejumlah 2.51 juta saham diniagakan sehingga pada 9.39 pagi. Pada suku ketiga 2017, keuntungan sebelum cukai AirAsia naik kepada RM486.03 juta berbanding RM473.67 juta pada suku sama tahun lepas, manakala perolehan meningkat kepada RM2.45 bilion berbanding RM1.69 bilion sebelum ini.
Pendapatan terasnya sebanyak RM466.5 juta, menjadikan pendapatan sembilan bulan 2017 kepada RM1.1 bilion.
Oleh itu, firma penyelidikan percaya akan terdapat satu lagi pendapatan bagi suku keempat yang kukuh yang akan mendorong keputusan tahun penuh mengatasi unjuran mereka.
Hong Leong Investment Bank menjangka AirAsia kekal pada trajektori pertumbuhan daripada pengembangan kapasiti yang kukuh, faktor muatan yang tinggi dan dan kos bahan api jet yang rendah.
“Pemangkin dalam tempoh terdekat termasuklah langkah pengewangan aset dan penyenaraian usaha sama/syarikat sekutu pada 2018, yang akan meningkatkan lagi penilaian AirAsia,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini. – Bernama