Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OKT – Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Unit Urusetia Tabung Dana Bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam telah mengambil inisiatif mengadakan Jerayawara Pemberigaan Tabung Dana Bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam ke kementerian-kementerian di negara ini bagi pegawai dan kakitangan Jabatan Perdana Menteri (JPM) serta jabatan-jabatan di bawahnya yang diadakan di Dewan Teater Utama, JPM, hari ini.
Hadir pada jerayawara berkenaan, Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU, Awang Haji Amir Hisham bin Haji Masri.
Antara lain tujuan jerayawara tersebut adalah untuk memberikan kefahaman yang mendalam mengenai penubuhan dan peranan tabung berkenaan, khususnya kepada pegawai serta kakitangan kerajaan yang mula berkhidmat sejak tahun 2020 hingga kini.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid (SkiPPA), Jabatan Hal Ehwal Masjid, Awang Mohammad Irfan bin Irwan.


Majlis diteruskan dengan penerangan mengenai tabung dana oleh Pemangku Penolong Pengarah Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU, Awang Haji Asminan bin Haji Chuchu.
Dalam penerangan beliau antara lain menjelaskan tentang sejarah dan tujuan penubuhan tabung, mekanisme kutipan dana, proses pemotongan gaji, statistik jumlah kutipan, serta perancangan projek yang telah dan akan dilaksanakan.
Jerayawara tersebut turut disusuli dengan sesi soal jawab dan perbincangan yang memberi ruang kepada peserta untuk mendapatkan penjelasan lanjut serta berkongsi pandangan sebelum diakhiri dengan kuiz interaktif.
Penubuhan Tabung Dana Bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam merupakan wadah kekal bagi umat Islam untuk menabung pahala melalui pembinaan masjid, di samping menjadi peluang keemasan untuk “bertanam saham” di akhirat.
Umat Islam yang menginfakkan harta bagi kemaslahatan umat dengan niat ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dijanjikan ganjaran pahala yang berkekalan.
