Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Saham Amazon melonjak selepas AI mendorong komputeran awan

    SAN FRANCISCO, 31 OKT – Harga saham Amazon melonjak lebih daripada sepuluh peratus kelmarin selepas syarikat gergasi runcit dalam talian laporkan pendapatan melebihi jangkaan, didorong oleh permintaan khidmat komputeran awannya.

    Jualan suku tahunan meningkat 13 peratus kepada AS$180.2 bilion di seluruh syarikat, katanya. Pendapatan bersih juga meningkat kepada AS$21.2 bilion daripada $15.3 bilion setahun sebelumnya.

    Bahagian Perkhidmatan Web Amazon (AWS), yang baru-baru ini mengalami gangguan global, menyaksikan pendapatan melonjak 20 peratus kepada AS$33 bilion pada suku ketiga, menandakan kadar pertumbuhan terpantas sejak 2022 apabila syarikat berlumba-lumba untuk membina keupayaan AI.

    Pesaing utama Amazon dalam ruang pengkomputeran awan, Microsoft dan Google, pada hari Rabu juga melaporkan peningkatan jualan dalam perniagaan pengkomputeran awan mereka, selaras dengan meningkatnya penggunaan AI sebagai pemacu utama.

    Walaupun syarikat itu tidak dedahkan pelaburannya dalam keupayaan AI, Amazon berkata ia meningkatkan pembelian hartanah dan peralatan tahun ke tahun sebanyak AS$50.9 bilion, yang merupakan lonjakan besar dalam perbelanjaan.

    Amazon juga berkata ia telah menambah kapasiti kuasa sebanyak 3.8 gigawatt sepanjang tahun lalu untuk menyokong infrastruktur AI, lebih banyak daripada mana-mana syarikat penyedia awan yang lain, dan juga lancarkan kluster pengkomputeran besar-besaran dengan hampir 500,000 cip AI.

    Pengkomputeran AI memerlukan sejumlah besar elektrik, jauh lebih banyak daripada pengkomputeran tradisional dan boleh memberi tekanan kepada sumber tempatan, terutamanya bekalan air yang diperlukan untuk menyejukkan aktiviti pusat data.

    Amazon juga berkata pada hari Selasa bahawa ia akan kurangkan sebanyak 14,000 jawatan untuk memperkemas operasi setelah melabur dalam AI.

    Pengurangan dijangka menyasarkan bahagian sumber manusia, pengiklanan dan pengurusan yang mana kumpulan tersebut mempunyai 350,000 jawatan daripada jumlah lebih 1.5 juta pekerja Amazon. – AFP

    Logo Amazon di sebuah bangunan di Madison County, Missisipi pada Ogos 2022. Amazon catat keuntungan. -Gambar fail AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda