NEW YORK, 13 JUN – Apple kelmarin telah mengambil alih semula kedudukannya sebagai syarikat terbesar di dunia berdasarkan harga saham, mengatasi Microsoft untuk beberapa jam.
Syarikat gergasi iPhone itu mencatat peningkatan harga saham di Wall Street selepas pengumuman ciri-ciri kecerdasan buatan (AI) semasa persidangan pembangun tahunannya pada Isnin lalu.
Apple, yang mengambil masa untuk merumuskan strategi AI miliknya, telah kehilangan kedudukan teratas yang dipegangnya sekian lama pada Januari apabila pelabur menghargai pelancaran produk AI generatif baharu Microsoft di bawah jenama CoPilot.
Sementara Microsoft kelmarin kehilangan kedudukan teratas dalam beberapa jam, tetapi berjaya menutup dagangan dengan nilai pasaran AS$3.27 trilion, manakala Apple berada pada AS$3.26 trilion.
Apple telah memperkenalkan platform AI baharu yang dinamakan Apple Intelligence pada Isnin lalu, yang akan ditambah secara beransur-ansur kepada versi baharu sistem operasi iOS 18.
Teknologi itu hanya akan tersedia pada perkakasan kelas tinggi Apple, memaksa pelanggan yang berminat untuk membayar harga premium bagi menikmati keupayaan AI tersebut.
Penganalisis yang pada awalnya kurang yakin, kini percaya bahawa kuasa baharu iPhone akan mendorong 1.5 bilion pengguna syarikat itu untuk mengemas kini telefon mereka bagi mengambil kesempatan ke atas ciri-ciri AI tersebut.
Dalam satu temu bual bersama Ketua Eksekutif Apple, Tim Cook menjelaskan bahawa syarikat tersebut telah berhati-hati mengadaptasi AI generatif, ‘yang mempunyai kekurangannya,’ tetapi teknologi gaya ChatGPT ‘tidak pernah disampingkan’.
“Ia sentiasa mengenai merebutnya dengan cara yang bijak,” katanya kepada podcast Marques Brownle, baru-baru ini. – AFP
