NEW YORK, 7 FEB – Saham di Amerika Syarikat (AS) ditutup bercampur-campur kelmarin ketika pelabur menilai musim pelaporan pendapatan syarikat serta menunggu data pekerjaan bukan perladangan, lapor Xinhua.
Indeks Dow Jones Industrial Average susut 125.65 mata atau 0.28 peratus kepada 44,747.63.
Indeks S&P 500 meningkat 22.09 mata atau 0.36 peratus kepada 6,083.57, manakala Indeks Nasdaq Composite menokok 99.66 mata atau 0.51 peratus kepada 19,791.99.
Lapan daripada 11 sektor utama dalam S&P 500 ditutup lebih tinggi, dengan sektor barangan pengguna asas dan kewangan mencatat keuntungan tertinggi masing-masing sebanyak 0.88 peratus dan 0.84 peratus.
Sebaliknya, sektor tenaga dan kesihatan menjadi antara penyumbang terbesar kepada penyusutan pasaran, masing-masing merosot 1.64 peratus dan 0.94 peratus.
Menurut laporan Jabatan Buruh AS kelmarin, tuntutan awal faedah pengangguran meningkat sebanyak 11,000 kepada 219,000 bagi minggu berakhir 1 Februari, melebihi jangkaan pakar ekonomi.
Tuntutan berterusan, yang menjejaki bilangan individu yang masih menerima faedah selepas tuntutan awal dan menjadi petunjuk kepada trend pengambilan pekerja, meningkat 36,000 kepada 1.886 juta bagi minggu berakhir 25 Januari. – Bernama
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/P10-5EWEB-AFP_08022025.jpg)