ISTANBUL, 9 APRIL – Saham di Amerika Syarikat (AS) ditutup rendah kelmarin susulan ketegangan perdagangan yang semakin memuncak selepas Rumah Putih mengesahkan tarif ke atas barangan China akan meningkat lebih dua kali ganda, lapor Agensi Anadolu (AA).
AS sebelum ini mengumumkan bahawa ia akan mengenakan tarif sebanyak 104 peratus ke atas China bermula hari ini.
Saham Apple, yang mencatatkan kenaikan lebih empat peratus pada awal dagangan, ditutup susut hampir lima peratus.
Syarikat pengeluar iPhone itu kini mencatatkan kerugian lebih 22 peratus dalam tempoh empat hari dagangan lepas, berikutan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap tarif memandangkan kebanyakan iPhone dihasilkan di China.
Indeks Purata Perindustrian Dow Jones susut 0.84 peratus atau 320.01 mata untuk ditutup pada 37,645.59.
Indeks S&P 500 pula merosot 1.57 peratus atau 79.48 mata kepada 4,982.77, manakala Indeks Komposit Nasdaq jatuh 2.15 peratus atau 335.35 mata untuk mengakhiri dagangan pada 15,267.91.
Indeks Volatiliti CBOE (VIX), yang sering dirujuk sebagai ‘indeks ketakutan’ melonjak 11.39 peratus kepada 52.33.
Dalam perkembangan berkaitan, Trump memaklumkan di media sosial kelmarin bahawa beliau telah mengadakan perbualan telefon yang ‘baik’ dengan pemangku presiden Korea Selatan.
“Tarif boleh dikenakan secara tetap dan rundingan juga boleh diadakan,” kata Trump pada sidang media pada Isnin.
Beliau turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba, telah memberitahunya dalam satu panggilan telefon bahawa Jepun akan menghantar, “pasukan terbaik untuk berunding.”
Trump berkata parameter yang ‘tegas tetapi adil’ sedang ditetapkan dan menggesa Jepun meningkatkan pembelian kereta Amerika, produk pertanian serta ‘banyak lagi barangan lain.’ – Bernama/Anadolu
