Saham Astro susut akibat pelanggaran data

KUALA LUMPUR, 23 OGOS – Harga saham penyedia televisyen satelit, Astro Malaysia Holdings Berhad merosot dalam dagangan awal selepas ia mengalami satu lagi pelanggaran data, kebocoran kedua diketahui dalam tempoh 18 bulan.

Setakat pukul 11:03 pagi, saham syarikat itu susut 0.68 peratus kepada RM1.45 dengan 30,700 saham diniagakan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam, syarikat itu berkata ia menyedari akses yang tidak dibenarkan kepada data MyKad pelanggannya yang mempunyai maklumat termasuk nombor IC, tarikh lahir, jantina, bangsa dan alamat. Bagaimanapun, katanya insiden itu hanya menjejaskan sebahagian kecil pelanggannya.

“Kurang daripada 0.2 peratus daripada pelanggan kami terjejas dalam insiden ini dan kami dalam proses untuk memaklumkan kepada mereka.” – Bernama