HONG KONG, 29 MAC – Laman penstriman video Bilibili merosot pada hari pertama pernia-gaan di bursa saham Hong Kong hari ini kerana pelabur risau mengenai penjualan global dalam saham teknologi China.
Harga pembukaan Bilibili merosot 6 peratus dalam perniagaan awal selepas firma itu mengumpul kira-kira AS$2.6 bilion dalam penyenaraian kedua di bursa saham Hong Kong.
Dalam tempoh 18 bulan lalu, Hong Kong telah melihat beberapa firma teknologi China mengadakan tawaran awam di bandar, sebahagian daripada kempen untuk disenaraikan lebih dekat dengan negara ketika hubungan di antara Beijing dan Washington menjadi dingin. Tahun lalu, Hong Kong memperoleh tawaran awam berjumlah AS$49 bilion dengan penyenaraian kedua yang amat popular oleh JD.com dan NetEase.
Penyenaraian syarikat bar gelintar China Baidu di Hong Kong pada minggu lalu mengumpul AS$3.1 bilion menerusi IPO tetapi sahamnya berakhir tanpa perubahan pada hari pembukaan dan telah merosot kira-kira 15 peratus sejak itu.
Ketegangan AS-China masih menjadi isu utama yang membimbangkan pelabur.
Minggu lalu, pengawal selia Amerika mengumumkan rancangan untuk memaksa firma China supaya mematuhi peraturan audit yang lebih ketat, justeru mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan dikeluarkan dari penyenaraian di AS dan penjualan global dalam saham teknologi China. Bilibili telah pun disenaraikan di New York.
Ia merupakan laman penstriman video yang berkembang pesat dengan kira-kira 200 juta pengguna muda China. – AFP