BEIJING, 18 MAC – Saham syarikat gergasi kenderaan elektrik (EV) China, BYD, melonjak ke paras tertinggi selepas syarikat itu memperkenalkan teknologi bateri baharu yang dikatakan mampu mengecas kenderaan dalam tempoh hanya lima minit – setanding dengan masa mengisi petrol bagi kereta konvensional.
Sistem bateri dan pengecasan baharu yang dinamakan Super e-Platform menawarkan kelajuan pengecasan mencecah 1,000 kW, membolehkan kenderaan menempuh jarak sehingga 470 kilometer selepas hanya lima minit pengecasan.
Pengasas BYD, Wang Chuanfu, menyatakan bahawa inovasi itu bertujuan menghapuskan kebimbangan pengguna terhadap isu masa pengecasan. “Matlamat kami adalah menjadikan tempoh pengecasan EV sepantas mengisi minyak bagi kenderaan bahan api,” katanya ketika pelancaran semalam.
Berita tersebut menyebabkan saham BYD yang disenaraikan di Hong Kong melonjak lebih enam peratus pagi ini, mencatatkan rekod tertinggi sebelum kembali susut sedikit.
Teknologi itu meletakkan BYD di hadapan pesaing utamanya, Tesla, yang pengecas Supercharger-nya hanya mencapai kelajuan maksimum 500kW.
Super e-Platform akan diperkenalkan melalui dua model EV baharu, iaitu sedan Han L dan SUV Tang L. Selain itu, BYD merancang untuk membina lebih 4,000 stesen pengecasan ultra pantas di seluruh negara bagi menyokong penggunaan sistem itu.
Pengembangan besar-besaran itu berlaku seiring pertumbuhan pesat syarikat, dengan jualan Februari melonjak 161 peratus, mencecah lebih 318,000 unit EV.
Sementara, Tesla mengalami penurunan jualan drastik sebanyak 49 peratus di pasaran China dalam tempoh yang sama. – AFP
