Saturday, July 12, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Saham Jet Airways merosot

    MUMBAI, 18 April – Saham Jet Airways merosot lebih daripada 32 peratus hari ini, beberapa jam selepas penerbangan terakhir syarikat penerbangan India itu mendarat berikutan satu keputusan untuk menghentikan operasi seluruh armada kapal terbang berkenaan.

    Syarikat penerbangan yang berpangkalan di Mumbai itu hampir-hampir jatuh muflis dan gagal mendapatkan pembiayaan kecemasan daripada bank, sekali gus memaksanya menggantung semua operasi lewat semalam.

    Saham Jet merosot lebih daripada 32 peratus kepada 162.15 rupee di Saham Bursa Bombay hari ini. Ia bernilai empat kali lebih banyak daripada jumlah tersebut setahun lalu.

    Pemberi pinjaman yang mengawal syarikat penerbangan berkata hari ini mereka sedang menumpu untuk mencari pembeli untuk Jet, yang sehingga baru-baru ini merupakan syarikat penerbangan kedua terbesar di India berdasarkan saham pasaran.

    “Pemberi pinjaman berharap proses bidaan mungkin berjaya dalam menentukan nilai adil perusahaan dalam cara yang telus,” menurut mereka dalam satu kenyataan.

    Konsortium pimpinan Bank Negeri India sedang menimbang untuk menjual saham majoriti dalam Jet dan telah memasukkan empat pembeli berpotensi dalam senarai terpilih, termasuk Etihad Airways, yang telahpun memiliki 24 peratus.

    Keempat-empat mereka diberi tempoh sehingga 10 Mei untuk menghantar bidaan formal.

    Namun sehingga itu, armada syarikat penerbangan yang masih tinggal tidak dibenarkan membuat penerbangan dengan penerbangan terakhir dari Amritsar ke Mumbai mendarat pada awal pagi ini.

    Kejatuhan Jet, dan kehilangan lebih daripada 20,000 pekerjaan, akan memberi tamparan hebat kepada reputasi Perdana Menteri Narendra Modi tatkala beliau berusaha meneruskan penggal kedua dalam pilihan raya negara. – AFP

    Pesawat Jet Airways yang kelihatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Chattrapati Shivaji di Mumbai pada 18 April, 2019. Saham Jet Airways menjunam lebih daripada 32 peratus – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda