PARIS, 23 OGOS – Saham Nestle merosot mendadak selepas pengumuman mengejut mengenai peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat itu, Mark Schneider, yang berkuat kuasa 1 September ini.
Pengumuman itu berikutan pertumbuhan jualan yang perlahan serta beberapa kontroversi yang melibatkan syarikat gergasi makanan tersebut.
Syarikat membuat pengumuman itu selepas pasaran ditutup kelmarin, yang turut menyatakan bahawa Laurent Freixe, yang kini mengetuai operasi di Amerika Latin, akan mengambil alih jawatan CEO baharu.
Pada sesi dagangan awal di bursa saham Switzerland, saham Nestle merosot lebih tiga peratus sebelum mengurangkan kerugian kepada 1.5 peratus menjelang tengah hari.
Pengerusi Nestle, Paul Bulcke, dalam satu panggilan persidangan dengan para pelabur, mengakui bahawa keputusan itu ‘mungkin mengejutkan ramai pihak’ namun menegaskan bahawa sudah tiba masanya untuk melakukan perubahan bagi menghadapi cabaran masa hadapan. Beliau turut menyatakan bahawa ‘kualiti yang berbeza’ diperlukan dalam kepimpinan syarikat.
Nestle, yang terkenal dengan jenama seperti Nespresso, Purina dan Haagen-Dazs, baru-baru ini mengurangkan unjuran pertumbuhan jualannya untuk tahun 2024 ketika memperlahankan kadar kenaikan harga pada separuh pertama tahun ini.
Syarikat tersebut telah mencatatkan pertumbuhan jualan yang tinggi dalam tempoh tiga tahun lalu hasil daripada kenaikan harga bagi menampung peningkatan kos akibat inflasi global.
Bagaimanapun, syarikat itu juga menghadapi beberapa isu kontroversi dalam beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk NGO Switzerland, Public Eye, yang menuduh Nestle menjual makanan anak damit dengan kandungan gula yang tinggi di negara-negara berpendapatan rendah, tetapi tidak di negara-negara lebih kaya.
Nestle menafi dakwaan tersebut. – AFP
