Saturday, February 22, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Saham Nissan melonjak 11 peratus

    TOKYO, 21 FEB – Saham Nissan melonjak 11 peratus hari ini selepas laporan mengatakan kumpulan Jepun termasuk bekas perdana menteri merancang meminta gergasi kenderaan elektrik (EV) Amerika Syarikat (AS), Tesla, untuk melabur dalam pembuat kereta itu.

    Cadangan yang dilaporkan itu menyusuli kegagalan perbincangan penggabungan Nissan dengan pesaingnya Honda, dilihat sebagai usaha untuk mengejar Tesla dan syarikat China dalam pasaran EV yang kompetitif.

    The Financial Times memetik tiga orang yang mempunyai pengetahuan langsung mengenai langkah itu yang mengatakan bekas Perdana Menteri, Yoshihide Suga menyokong cadangan untuk menghubungi Tesla.

    “Kumpulan itu berharap Tesla akan menjadi pelabur strategik kerana mereka percaya ia berminat untuk memperoleh kilang Nissan di AS,” kata akhbar itu.

    Bagaimanapun, Nissan enggan mengulas ketika dihubungi AFP.

    Moody’s hari ini menurunkan penarafan kredit Nissan kepada kadar terendah, dengan mengatakan keputusan itu mencerminkan keuntungan lemah Nissan didorong oleh permintaan yang perlahan untuk portfolio modelnya yang semakin usang.

    Nissan mengumumkan beribu-ribu pemberhentian kerja tahun lepas selepas melaporkan kemerosotan 93 peratus dalam keuntungan bersih separuh tahun pertama, dan syarikat itu kini menjangkakan kerugian tahunan berjumlah AS$500 juta.

    “Walaupun syarikat itu berjaya melaksanakan pelan penstrukturannya dengan pengurangan kos dan keluaran model baharu, kami tidak menjangkakan aliran tunai bebas bertukar positif sehingga fiskal 2026,” kata Moody’s. – AFP

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda