TOKYO, 27 JUN – Presiden Perancis Emmanuel Macron berkata hari ini tidak timbulnya keperluan untuk mengubah saham Perancis dalam pengeluar kereta Renault, menegaskan isu tersebut tidak ada kena mengena dengan krisis yang dihadapi oleh rakan Jepun Nissan.
Renault dan Nissan telah bertelagah sejak penahanan mengejutkan Carlos Ghosn pada November yang mengetuai gabungan di antara pasangan itu dan Mitsubishi Motors.
Renault memiliki 43 peratus daripada Nissan, dan kerajaan Perancis pula memegang 15 peratus dalam Renault, menimbulkan kemarahan di firma Jepun, yang sensitif terhadap campur tangan Perancis. Menteri Kewangan Perancis Bruno Le Maire memberitahu AFP dalam satu temu bual pada 8 Jun bahawa Paris bersikap terbuka untuk mengurangkan sahamnya jika ia dapat merangsang perkongsian dengan Nissan.
Namun Macron, ketika lawatan ke Jepun, nampaknya bercanggahan dengan menterinya, memberitahu wartawan: “Tidak timbulnya keperluan untuk mengubah pegangan saham, pengurusan dan pegangan kerajaan dalam Renault, yang tidak mempunyai hubungan dengan Nissan.”
Macron juga nampaknya mengeluarkan amaran kepada bos Nissan Hiroto Saikawa yang memberitahu pemegang saham pada Selasa bahawa isu sensitif struktur gabungan sekarang mungkin perlu dipertimbang semula ‘sekiranya ketidakseimbangan menjadi faktor ketidakstabilan.’ – AFP
