TOKYO, 4 Jun – Saham-saham Tokyo dibuka lebih tinggi hari ini ekoran pertumbuhan mantap pekerjaan di Amerika Syarikat (AS) dan data penghasilan yang memangkin Wall Street.
Tanda aras indeks Nikkei 225 melonjak 0.84 peratus atau 187.16 mata kepada 22,358.51 dalam awal dagangan manakala indeks Topix meningkat 0.89 peratus atau 15.49 peratus pada 1,764.66.
Pengumuman Presiden AS Donald Trump pada Jumaat lalu bahawa beliau akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un pada 12 Jun seperti yang dijadualkan juga menyokong pasaran Jepun, menurut para penganalisis.
Dolar dijual pada 109.60 yen dalam dagangan awal Asia berbanding 109.50 yen di New York.
“Dengan keadaan AS yang baik telah disahkan, Simpanan Persekutuan AS pasti akan menaikkan kadar dasarnya,” kata Masayuki Kubota, ketua pakar strategi di Rakuten Securities.

“Kenaikan kadar membawa dua maksud, ketika perluasan jurang kadar faedah akan menghasilkan yen lebih murah, manakala kenaikan kadar faedah akan membebani harga-harga saham sejagat,” menurutnya lagi. Saham-saham Tokyo akan menyaksikan dagangan turun naik selepas pemulihan awal, ujarnya.
Bagi minggu ini, ketidakpastian tentang situasi politik di Itali dan Sepanyol dan juga kebimbangan berterusan ke atas dasar dagangan AS yang bersifat perlindungan boleh membebankan pasaran, menurut ahli strategik Daiwa Securities Tsuyoshi Nomaguchi.
Di Tokyo, Toyota naik 1.97 peratus pada 7,262 yen, Sony meningkat 1.90 peratus pada 5,260 yen dan Mitsubshi UFJ Financial naik 1.19 peratus pada 674.1 yen. – AFP