Berdepan banyak kegagalan, selain puluhan ribu duit simpanan lebur tidak sedikitpun mematahkan semangat, sebaliknya aktor bertubuh sasa, Saharul Ridzwan, 32, tetap meneruskan minat dalam dunia perniagaan.
Jika ikutkan, memang serik duit simpanan hangus begitu sahaja, berniaga pula tidak menjadi, namun ada yang berpendapat, kebanyakan golongan peniaga berdepan dengan kegagalan terlebih dahulu sebelum berjaya.
Enggan menjadi insan mudah berputus asa, Saharul tetap mencari lubang perniagaan demi kelangsungan hidup pada masa hadapan apabila dunia lakonan lakonan tidak memberikan pendapatan yang baik seperti hari ini.
“Berlakon masih boleh menampung kehidupan saya sekarang, tetapi sejauh mana? Saya hanya memberikan tempoh dua atau tiga tahun untuk relevan sebagai hero.
“Mungkin selepas ini hanya watak sebagai abang kepada hero atau pembantu sahaja diperoleh. Dan untuk mendapatkan pendapatan seperti hari ini, saya harus menjayakan tiga hingga empat tawaran lain dalam tempoh yang sama.

“Saya tak mahu bersusah payah bekerja siang malam untuk mendapatkan apa yang diperoleh sekarang. Jadi, sebagai jaminan hidup, jalannya hanya menerusi perniagaan,” katanya kepada BH Online.
Pelakon Korban Kasih dan Cinta Sekali Lagi itu berkata, dia pernah berdepan kerugian puluhan ribu ringgit ketika mula menceburi dunia perniagaan, sejak beberapa tahun lalu.
Katanya, antara punca utama kerugian disebabkan kurang ilmu dalam bidang perniagaan.
“Sebelum ini, saya pernah berniaga serunding, minyak wangi dan skrub muka, tetapi semuanya tidak menjadi. Dengan tiada ilmu, saya mengalami kerugian hampir puluhan ribu duit simpanan keluarga lebur.
“Pernah juga stok serunding dijual pada bulan puasa berulat, sedangkan saya sudah mengeluarkan modal puluhan ribu.
“Sedih hanya Allah yang tahu. Sampai satu tahap, saya takut nak berniaga dan serik nak tanggung kerugian. Namun, saya juga tidak boleh bergantung harapan pada dunia lakonan sahaja.
“Saya tetap kena berusaha memikirkan sudah berkeluarga dan anak-anak masih kecil, selain pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya ketika ditemui pada sidang media pelancaran produk wangian aromatik miliknya, Ode Scents, baru-baru ini.
Pelakon yang diangkat sebagai Aktor Hero Pilihan, Drama Festival Kuala Lumpur 2016 menerusi drama Kau Aku Kita itu berkata, dia tidak pernah berputus asa untuk bergelar usahawan. – Agensi