Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JULAI – Kontinjen atlet Majlis Sukan Sekolah-sekolah Brunei Darussalam (MS SSBD) yang bakal beraksi di Kejohanan Sukan Sekolah-sekolah ASEAN (ASG) ke-11 bertekad untuk memberikan persembahan terbaik dan bersaing untuk mengharumkan nama negara.
Penyertaan kontinjen MS SSBD dalam kejohanan itu menunjukkan sokongan negara terhadap sukan di peringkat sekolah ASEAN dan penyertaan atlet juga memberikan petunjuk prestasi mereka setelah menjalani latihan secara berterusan sepanjang tahun.
Pada masa yang sama, ia juga dapat memberi pengalaman yang berguna kepada atlet muda dalam persediaan mereka untuk mewakili negara dalam kejohanan peringkat serantau dan antarabangsa.
Melalui penyertaan mereka itu juga, diharap akan dapat membantu memajukan sukan di Negara Brunei Darussalam ke arah prestasi dan pencapaian yang cemerlang.
Harapan itu disuarakan oleh Pemangku Pengarah Pendidikan Kokurikulum, Awang Mohamed Jais bin Haji Abdul Rahman selaku chef de mission dalam temu bual ringkas sebelum berlepas ke Indonesia, di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, hari ini.

Kontinjen MS SSBD merangkumi 54 orang iaitu 18 orang pegawai terdiri daripada pengurus pasukan dan jurulatih serta 36 orang atlet yang akan mengambil bahagian dalam enam acara sukan iaitu badminton, olahraga, renang, sepak takraw, pencak silat dan ping pong.
Turut serta dalam rombongan ialah Timbalan Menteri Pendidikan dan Presiden Majlis Sukan Sekolah-sekolah ASEAN (ASSC), Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.
Kejohanan ASG mula dianjurkan pada tahun 2009 di Thailand dan merupakan sukan tahunan anjuran Majlis Sukan Sekolah-sekolah ASEAN (ASSC) bagi pelajar yang berusia antara 13 hingga 18 tahun.
Dalam kejohanan itu, setiap negara ASEAN akan menjadi tuan rumah acara secara bergilir-gilir dengan Indonesia menjadi hos ASG ke-11 yang akan berlangsung di Semarang bermula hari ini hingga 25 Julai.
Kejohanan berkenaan diadakan untuk memupuk kerjasama dalam kalangan pelajar negara anggota ASEAN, memacu kemajuan sosial melalui jalinan kerjasama dalam bidang sukan atas semangat perkongsian dan kesamarataan serta menyediakan landasan untuk pendedahan dan pengalaman perlawanan di peringkat serantau.
Atlet MS SSBD yang diterapkan ke ASG pada 2019 telah memenuhi kriteria penilaian dan pemilihan yang telah ditetapkan dan dinilai oleh ahli Jawatankuasa Penilaian dan Pemilihan Atlet yang terdiri daripada pegawai dan jurulatih yang diiktiraf dan berpengalaman dalam bidang sukan.
Salah satu kriteria utama pemilihan itu ialah atlet dikehendaki mencapai lapan teratas dalam Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) untuk catatan masa atau jarak di Kejohanan ASG yang lepas bagi sukan yang boleh diukur manakala bagi sukan yang tidak dapat diukur, atlet hendaklah mencapai ranking lima terbaik dengan jumlah mata terkumpul daripada mereka dalam kejohanan yang disertai.
Pemilihan awal atlet telah diadakan seawal Disember 2018 melalui kejohanan atau pertandingan yang dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Kokurikulum atau Persatuan Sukan Kebangsaan di mana mereka diserapkan ke dalam kumpulan bakat dan telah menjalani latihan berterusan sejak Januari di bawah jurulatih profesional dan berpengalaman dari Jabatan Belia dan Sukan, persatuan sukan kebangsaan, Sekolah Sukan dan jurulatih persendirian.
Penilaian dan pemilihan bagi menyenarai pendekkan atlet telah dilaksanakan pada April 2019 oleh Jawatankuasa Penilaian dan Pemilihan Atlet berdasarkan laporan dan maklumat yang diperoleh daripada jurulatih setiap sukan.
Bagi memantapkan persediaan atlet pada 2019, Program Latihan Pusat dan Penempatan telah dirancang serta dilaksanakan oleh MS SSBD. Atlet yang telah dipilih ditempatkan di Sekolah Sukan bermula 23 Jun hingga 13 Julai bagi menjalani latihan pusat selama tiga minggu.
Kemudahan sukan di Sekolah Sukan telah digunakan bagi latihan badminton, olahraga, sepak takraw dan pencak silat manakala latihan bagi sukan renang dan ping pong diadakan di Kompleks Sukan Renang dan Kompleks Sukan Menglait.
Sebahagian daripada atlet olahraga membuat latihan di Stadium Negara Hassanal Bolkiah dan Kompleks Sukan Mumong di bawah program jurulatih profesional dari Jabatan Belia dan Sukan serta bagi atlet pencak silat, mereka telah menambah sesi latihan di sebelah malam bersama jurulatih pencak silat kebangsaan di Stadium Tertutup.