Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OKT – Empat pasukan terdiri daripada 28 atlet e-sukan Brunei, hari ini berlepas ke Kuala Lumpur, Malaysia untuk bersaing dengan pasukan dan pemain terbaik pada final Permainan Sukan Elektronik (WESG) Asia Tenggara (SEA) 2019.
Berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar ialah Setiausaha Tetap Kewangan dan Estet di Kementerian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud bersama wakil-wakil dari DST.
Kontingen negara dijangka bersaing dalam empat pertandingan iaitu Counter-Strike: Global Offensive (CS:GO) yang diwakili oleh Pasukan Goodfellas Gaming, CS:GO (peserta Wanita) diwakili oleh Grills That Go sementara Pasukan RevivaL akan bersaing dalam Dota 2 dan Awang Mohd Fadhil Majid pula akan bertanding di Starcraft 2.
Pada tahun ini, peserta akan bersaing untuk merebut hadiah wang tunai AS$105,000 di mana juara bagi setiap pertandingan akan dijemput menyertai Kejohanan Antarabangsa WESG di Chongqing, China. Final WESG SEA 2019 akan berlangsung di Pusat Konvensyen Quill, Kuala Lumpur dari 31 Oktober hingga 3 November ini.
Ketua kontinjen, Hawaii Yee yang juga pengasas BruGames menjelaskan, ini adalah penyertaan kedua negara di kejohanan ini selepas penyertaan pertama pada tahun 2016.
Menurut beliau, sebagai persediaan untuk kejohanan ini, pasukan negara telah mengadakan latihan secara berkumpulan dengan Goodfellas Gaming pula telah menjalani latihan intensif di mana para pemain dilatih di bawah satu bumbung beberapa bulan yang lalu.
Pada penyertaan kali ini, beliau berharap para pemain dapat melakukan yang terbaik berbanding pada penyertaan yang pertama.
Kumpulan atlet e-sukan negara ditaja oleh WESG selepas muncul juara pada kelayakan kebangsaan baru-baru ini.
