Sahut cabaran selamatkan hasil tuaian ladang beri

HOLLOLA, FINLAND – Beribu-ribu penduduk Finland telah menyahut gesaan dari petani untuk menyelamatkan hasil tuaian beri pada musim panas, apabila sekatan pandemik koronavirus menyebabkan ramai pemetik buah asing menjauhi industri tersebut.

“Selepas 22 tahun, akhirnya kami mempunyai pekerja Finland di ladang strawberi sekali lagi, ia adalah satu situasi yang amat luar biasa,” beritahu Vesa Koivistoinen, pemilik ladang strawberi terbesar di Finland di selatan kampung Hollola, kepada AFP.

Apabila AFP melawat ladang Koivistoinen seluas 100 hektar dua minggu sebelum musim memetik strawberi, ladang besar yang dipenuhi dengan ratusan orang, dari remaja kepada pesara, membongkok untuk memetik strawberi dan seterusnya meletak buah berkenaan dalam tong untuk ditimbang dan dipunggah ke dalam lori.

Untuk mengendali hasil beri, Finland biasanya memerlukan kira-kira 16,000 pekerja bermusim setahun, ‘yang kebanyakannya datang dari luar negara,” beritahu Kati Kuula dari kesatuan pertanian MTK kepada AFP.

Namun apabila sekatan perjalanan koronavirus dikenakan pada musim bunga, persatuan perladangan dan kerajaan bimbang mengenai kekurangan pekerja dan melancarkan beberapa program latihan.

Seorang pekerja memetik strawberi di Hollola, Finland. – AFP
Pekerja Finland menunggu untuk menimbang strawberi yang dipetik di Lahti, Finland. – AFP

Salah satu persatuan terbesar, kempen media sosial #Seasonwork yang disokong kerajaan, memaparkan pasangan berdiri dengan bangga di sebuah ladang gandum, dan menyeru ‘setiap pasangan tangan yang ada’ untuk menjamin makanan tempatan di meja makan Finland.’

Setakat ini pada tahun ini, hanya satu pertiga daripada pekerja biasa telah tiba dari luar negara, kesemuanya dari Ukraine, dengan baki keseluruhan dilatih di Finland, kata Kuula.

Daripada 350 pekerja Finland yang digaji di ladang strawberi Vesa Koivistoinen, kebanyakannya adalah pelajar berusia 15 hingga 20 tahun, tetapi ramai pekerja lain menganggur disebabkan koronavirus.

Sari, seorang tukang urut berusia 52 tahun, memberikan respons terhadap satu iklan kerja selepas perniagaannya sendiri ditutup pada musim bunga.

“Saya ialah anak perempuan seorang petani dan saya bekerja di ladang strawberi apabila saya masih kecil,” beritahunya kepada AFP.

“Jadi saya tahu apa yang dijangkakan,” tambah beliau.

Sementara itu, Janne Erola, 29 tahun, yang telah bekerja dalam beberapa pekerjaan bermusim tetapi tidak pernah dalam bidang memetik buah, berkata beliau berhasrat untuk meneruskan kerja sehingga musim strawberi berakhir pada lewat bulan Ogos.

Memenuhi satu peti seberat tujuh kilogram dengan strawberi mengambil masa ‘lebih satu jam,’ kata Erola, dibayar 1.2 euro setiap kilogram.

Koivistoinen berkata memandangkan penduduk Finland tidak dapat memetik secepat pekerja warga Ukraine yang berpengalaman, beliau telah menawar-kan mereka bonus 10 peratus untuk menjadikan usaha mereka berbaloi.

Usaha pengambilan pekerja dan gaji lebih tinggi telah mendorong kos naik, namun Koivistoinen berkata beliau juga tidak keberatan menggaji pekerja tempatan pada masa hadapan.

“Kami mahu menggaji pekerja Finland disebabkan banyak firma lain tidak dapat menawarkan pekerjaan musim panas pada tahun ini,” kata Koivistoinen.

Namun kerja-kerja fizikal yang memerlukan masa dan tenaga yang banyak dalam cuaca Finland yang sentiasa berubah tidak menarik semua orang.

“Ia benar-benar memerlukan tenaga fizikal, dan ia agak jauh dari rumah saya,” kata Laura, 17 tahun, yang mendaftar bersama rakan sekolahnya Senni dan Mohammed.

Kesemua mereka sedang duduk berehat di tepi ladang, jari mereka merah berlumuran dengan jus strawberi.

“Sebenarnya saya mempunyai tawaran kerja pada awal musim panas ini, tetapi mereka berkata mereka tidak dapat menerima saya disebabkan pandemik koronavirus,” tambah Mohammed.

Namun sementara pekerja tempatan telah menyelamatkan musim memetik strawberi di Finland, nasib hasil tanaman bilberi tahun ini, asas budaya makanan Finland, nampaknya jauh lebih tidak menentu.

Setiap tahun, industri Finland dari makanan kepada kosmetik memerlukan 20 juta kilogram bilberi – jenis beri biru kecil Eropah yang tidak ditanam di ladang tetapi tumbuh dengan banyak di hutan Finland.

Beri biasanya dipetik oleh pekerja Thai yang dibawa masuk untuk musim memetik pada akhir musim panas, tetapi sekatan pandemik bermakna tidak ada seorang yang akan dibawa masuk pada tahun ini.

Sebaliknya, media sosial Finland dipenuhi dengan pos yang menyeru ‘setiap warga bekerja Finland supaya memetik sebakul bilberi’ untuk mengelak beri daripada busuk dan dibuang.

Sesetengah syarikat yang bergantung pada beri masih tidak berasa selesa dengan pengaruh media sosial, dan berkata mereka akan mengimport bilberi mereka dari Poland atau Rusia pada tahun ini, mengingatkan ia mungkin mendorong kepada kenaikan harga. – AFP