Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JAN – Usaha terus dilaksanakan untuk menyahut seruan membantu meringankan beban rakyat Palestin di Gaza melalui kutipan derma bagi Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023 dengan Pertubuhan WARGAMAS mengadakan Projek Riadah Amal Tabung Palestin (RATAP) yang berlangsung di Taman Mahkota Jubli Emas, Bandar Seri Begawan, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan sama-sama menyertai acara riadah berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Kesukanan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud.
Yang Dipertua Petubuhan WARGAMAS, Haji Abu Bakar bin Haji Mohd Don menerangkan bahawa Projek RATAP merupakan kegiatan riadah amal yang disatukan sebagai solidariti terhadap Palestin iaitu dengan melaksanakan acara walkaton dan aktiviti senaman.
“Sambil beriadah, Projek RATAP juga membuka peluang kepada yang hadir untuk membuat amal dengan menghulur sedekah seangkat hati,” ujarnya sambil menambah terdapat tiga tabung disediakan.
Beliau berkata lagi, projek itu bermatlamat untuk menyokong hasrat kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam penubuhan Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza yang diuruskan oleh KKBS serta Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).
Pertubuhan WARGAMAS, ulasnya, turut bersimpati dan terpanggil terhadap kesejahteraan saudara Islam di Palestin dengan melaksanakan Projek RATAP serta sebagai komitmen padu antara pertubuhan berkenaan dan agensi-agensi kerajaan dan swasta, belia dan beliawanis dalam membuat perkara yang berkebajikan.
Projek juga merupakan sebagai satu platform, wadah serta peranan warga emas untuk bersatu dalam mengeratkan silaturahim, riadah sambil beramal dan berkongsi ilmu serta menjalin kerjasama untuk melahirkan generasi yang berfikiran waja, sihat jasmani dan rohani serta hidup dalam harmoni.
Pada majlis berkenaan, kutipan derma RATAP telah dirasmikan oleh Pengiran Mohammad Amirrizal sebelum mengambil bahagian dalam sesi memanaskan badan serta mengetuai kegiatan Walkaton RATAP sejauh 1.2 kilometer yang melalui kawasan perkarangan Masjid Omar ‘Ali Saifuddien dan Taman Mahkota Jubli Emas.
Acara riadah turut diserikan dengan acara mencari barang tersembunyi dan cabutan bertuah. Pada majlis berkenaan, penyerahan Kutipan Derma Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza telah disempurnakan oleh Haji Abu Bakar kepada Pengiran Mohammad Amirrizal iaitu sumbangan derma daripada ahli-ahli Pertubuhan WARGAMAS sebanyak $2,240 dan hasil kutipan derma projek RATAP sebanyak $1,423.