Oleh Pg Fairol RMF
Gambar oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Ogos – MPV premium, Saic Maxus G10 yang sudah berada di pasaran China sejak tahun 2014 lalu telah diperkenalkan untuk pasaran Negara Brunei Darussalam.
G10 yang diperkenalkan oleh Syarikat GHK Motors kepada wakil media hari ini merupakan model kedua yang berjaya dihasilkan sebelum van sub-jenama Maxus V80 milik Automotive Industry Corporation (SAIC) diperkenalkan.
Pada majlis yang berlangsung di Coffee Bean and Tea Leaf, Centrepoint, Gadong, model unik dan MPV premium pertama Saic Maxus ini tampil dengan reka bentuk moden dan aerodinamik serta didatangkan dengan sembilan tempat duduk.


Ia juga dilengkapi dengan lampu utama, lampu belakang, pintu slaid bagi kedua sisi dan sensor undur. Selain itu, G10 menawarkan skrin sentuh 7 inci, kamera undur, stereng dengan pelbagai fungsi dan ruangan luas bagi penumpang dan tempat duduk yang boleh dilipat.
Mekanik GHK Motors menjelaskan, MPV baharu ini dimuatkan enjin diesel 1.9L Turbocharger dengan Intercooler gabungan transmisi tujuh kelajuan automatik. Ia boleh mencapai 150 kuasa kuda pada 4,000rpm bersama 350Nm Tork.
Menurut beliau lagi, Maxus didatangkan dengan ciri-ciri keselamatan auto unlock selepas enjin dimatikan, tempat duduk ISOFIX, beg udara bagi pemandu dan penumpang termasuk tali keledar Pretensioner, engine immobilizer dan teknologi keselamatan Anti-Braking System (ABS) serta Electronic Brake Distribution (EBD).