KUALA LUMPUR, 24 OKT – Pemain baharu dari Jepun, Mao Saigo, mencatat sembilan-bawah-par 63 untuk mendahului satu pukulan selepas pusingan pertama Kejohanan Maybank LPGA di Kuala Lumpur, hari ini.
Pemain Korea Selatan, Ryu Haeran mencatat 64, manakala Liu Ruixin dari China dan Hsu Wei-ling dari Taiwan masing-masing berkongsi kedudukan ketiga dengan mencatat 65.
Enam pemain menghuni tangga kelima dengan satu pukulan di belakang, termasuk pemenang dua gelaran utama, Yuka Saso.
Bagaimanapun, hari tersebut milik Saigo yang berusia 23 tahun, apabila dia mencatat 10 birdie dengan hanya satu bogey di Kuala Lumpur Golf & Country Club.
“Padang ini mencabar kerana banyak naik turun, tetapi saya seronok bermain di sini,” kata Saigo, yang berada dalam musim pertamanya di Jelajah LPGA.
“Saya akan berehat dan bersedia untuk hari-hari yang akan datang,” tambahnya.
Saigo berjaya mencatat enam birdie di sembilan lubang pertama sebelum meneruskan prestasi cemerlangnya dengan dua lagi birdie berturut-turut di lubang ke-10 dan ke-11.
Birdie yang dibenam di lubang ke-15, diikuti oleh satu lagi birdie terakhir di lubang ke-16, meletakkan pemain Jepun itu dalam kedudukan terbaik untuk menamatkan permainan hampir tanpa kesilapan.
Saigo melakukan bogey di lubang seterusnya, namun dia tetap berpuas hati dengan keseluruhan prestasinya.
“Saya selalu berjaya dalam pukulan jarak sederhana, itulah sebabnya saya beraksi dengan baik,” jelasnya. – AFP