LABUAN, 19 NOV – Syarikat perkapalan berpangkalan di Labuan, Sailion Shipping melakarkan satu kejayaan penting susulan penglibatannya dalam persiaran antarabangsa bagi perjalanan di Asia.
Dengan mempunyai cawangan di pelabuhan utama di seluruh Malaysia, syarikat itu yang berperanan sebagai ejen pelabuhan telah menguruskan persiaran antarabangsa melalui transit di pelabuhan Kota Kinabalu pada 18 November.
Sailion Shipping turut menggalas tanggungjawab untuk mengawasi kapal persiaran yang berhenti di semua pelabuhan utama Malaysia dan Brunei di samping menguruskan kapal persiaran melalui transit di Brunei.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Patrick Tiong berkata beliau berbangga dengan keupayaan syarikat untuk menguruskan persiaran antarabangsa, sekali gus menekankan komitmen Sailion Shipping untuk memenuhi permintaan pelanggan global.
“Kami telah berusaha memenuhi permintaan pelanggan antarabangsa. Menjalinkan hubungan perniagaan untuk tempoh jangka panjang dengan pelanggan sedia ada merupakan keutamaan kami,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Tiong berkata Sailion Shipping turut mempelawa operator persiaran lain untuk mempertimbangkan Labuan sebagai destinasi transit pada masa akan datang.
Mengulas kejayaan Sailion Shipping, pensyarah kanan Universiti Malaysia Sabah, Prof Madya Dr Romzi Ationg berkata pencapaian itu meletakkan Malaysia, terutamanya Labuan di arena antarabangsa.
“Ini sekali gus membuktikan syarikat Malaysia berkebolehan untuk menguruskan persiaran antarabangsa dengan cekap meskipun menerima ribuan pelawat daripada pelbagai negara,” katanya. – Bernama
