Oleh Fadhil Yunus
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JAN – Indera SC tersingkir daripada Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) selepas kekalahan 3-1 di pusingan kedua aksi timbal balik pusingan kelayakan dengan agregat 9-2 menentang Yangon United di Stadium Thuwunna, Myanmar semalam.
Pasukan Myanmar tersebut tidak dapat dinafikan menjadi pilihan ke peringkat seterusnya selepas menguasai perlawanan 6-1 di pusingan pertama namun Indera kelihatan berada dalam permainan dan berusaha untuk mendapatkan keputusan di Myanmar.
Yangon menemui jaringan awal pada minit ke-13 menerusi Kaung Htet Soe melalui tendangan penalti.
Indera menyamakan kedudukan lapan minit sebelum rehat babak pertama menerusi Rodrigo Tosi dengan sepakan penalti selepas kekerasan kepada Marcelo De Souza di kotak penalti.
Sementara itu Indera hampir-hampir menemui jaringan kedua seminit sebelum rehat ketika De Souza melepasi pertahanan Yangon tetapi percubaannya sedikit tersasar.
Tuan rumah kembali mendahului selepas Emmanuel Ikechukwu melepasi bola di bawah penjaga gawang Mohd Ahsanuddin pada minit ke-63 sebelum Than Paing menjaringkan gol ketiga.
Yangon menggandakan jaringan mereka lagi apabila pemain gantian Zin Min Tun melakukan satu percubaan dalam masa kecederaan tetapi dibatalkan disebabkan ofsaid.