Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Julai – Kejohanan Bola Keranjang You-C 1000 bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-72 kini memasuki ke peringkat suku akhir setelah berlangsung sejak 21 Julai lalu.
Sebanyak lapan pasukan yang berjaya mara ke suku akhir kejohanan ialah Pasukan YTE, Ceramic Pro Brunei, Teo & Sons, Waltique, Tutong Basketball, Easy Way, Clean Wash Laundry dan Pasukan Fuzhou Shiyyi Association.
Pada peringkat suku akhir nanti, Pasukan YTE akan menentang Pasukan Ceramic Pro Brunei sementara Teo & Sons akan berdepan Pasukan Waltique. Manakala Pasukan Tutong Basketball akan melayani Pasukan Easy Way dan perlawanan terakhir pusingan kalah mati itu nanti akan menyaksikan perlawanan antara Pasukan Clean Wash Laundry dan Pasukan Fuzhou Shiyyi Association.
Beberapa perlawanan telah berlangsung tempoh hari, antaranya perlawanan antara Pasukan Tutong Basketball dan Pasukan Menglait yang menyaksikan Pasukan Tutong Basketball menang 77-73.
Sementara itu, Pasukan Clean Wash Laundry pula terpaksa akur selepas tewas di tangan Pasukan YTE dengan mata 104-49 sehari selepas Pasukan YTE juga mencatat kemenangan besar ke atas Pasukan Menglait 160-83.

Dalam perlawanan lain pula, Clean Wash Laundry sekali lagi tewas di tangan Teo & Sons 81-118 sementara Pasukan Fuzhou Shiyyi Association meneruskan kemaraan selepas menang ke atas Ceramic Pro Brunei 120-41.
Pasukan Easy Way turut mencatat kemenangan 117-51 ke atas Pasukan Waltique, namun Pasukan Waltique kembali bangkit sehari kemudian dengan menumpaskan Pasukan Ceramic Pro Brunei 81-72.
Pasukan Fuzhou Shiyyi Association yang turut mara ke suku akhir mencatat kemenangan ke atas Pasukan Easy Way dalam perlawanan yang sengit yang berakhir dengan keputusan 87-76.
Perlawanan suku akhir dijadualkan berlangsung 31 Julai dan 1 Ogos nanti di Dewan Bola Keranjang Persatuan Bola Keranjang Brunei Darussalam di Batu Bersurat dan pasukan yang berjaya akan mara ke separuh akhir yang akan diadakan pada 3 dan 4 Ogos nanti.