Friday, May 9, 2025
31.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Saintis Australia temui kawah meteorit tertua

    SYDNEY, 7 MAC – Saintis Australia telah menemui kawah meteorit tertua yang diketahui di dunia, yang berpotensi mengubah pemahaman tentang asal-usul kehidupan dan Bumi itu sendiri, menurut satu kajian yang diterbitkan kelmarin.

    Kawah tersebut, yang ditemui di kawasan terpencil di barat laut Australia, ‘secara signifikan mencabar andaian terdahulu mengenai sejarah purba planet kita,’ kata penyelidik dari Universiti Curtin dalam laporan mereka.

    Pasukan itu mengkaji lapisan batu di North Pole Dome ‘dan menemui bukti hentaman meteorit besar yang berlaku 3.5 bilion tahun lalu.’

    “Sebelum penemuan kami, kawah hentaman tertua yang diketahui berusia 2.2 bilion tahun, jadi ini adalah kawah tertua yang pernah ditemui di Bumi,” kata penyelidik kajian, Profesor Tim Johnson.

    Pengarang bersama kajian, Profesor Chris Kirkland berkata penemuan tersebut memberikan perspektif baharu tentang bagaimana meteorit membentuk persekitaran awal Bumi.

    Kawah itu terletak di Pilbara, Australia Barat, di mana beberapa batu tertua di Bumi ditemui. – Agensi

    “Menemui hentaman ini dan mencari lebih banyak dari tempoh masa yang sama boleh membantu menjelaskan bagaimana kehidupan mungkin bermula, kerana kawah hentaman mencipta persekitaran yang mesra kepada kehidupan mikroba, seperti kolam air panas,” kata Kirkland.

    “Ia juga secara radikal mempertingkat pemahaman kita tentang pembentukan kerak Bumi – jumlah tenaga yang sangat besar daripada hentaman ini mungkin memainkan peranan dalam membentuk kerak awal Bumi.”

    Meteorit itu dipercayai melanggar kawasan tersebut dengan kelajuan lebih 36,000 kilometer sejam, menghasilkan kawah lebih daripada 100 kilometer lebar dan mungkin menghantar serpihan ke seluruh dunia, menurut kajian itu.

    “Sehingga kini, ketiadaan kawah yang benar-benar purba bermakna ia sering diabaikan oleh ahli geologi,” kata Johnson.

    “Kajian ini menawarkan satu bahagian teka-teki penting dalam sejarah hentaman Bumi dan mencadangkan bahawa masih terdapat banyak kawah purba lain yang boleh ditemui pada masa hadapan.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda