Sunday, March 16, 2025
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Saintis bergegas simpan memori ais

    PARIS, 3 APRIL – Para saintis Artik akan memulakan penggerudian bagi menyimpan sampel ais purba untuk dianalisis sebelum lapisan beku mencair akibat perubahan iklim, kata penganjur misi hari ini.

    Para penyelidik Itali, Perancis dan Norway telah menubuhkan perkhemahan di kepulauan Svalbard, Norway, menekankan bahwa mereka kesuntukan masa untuk memulihara rekod ais penting bagi menganalisis keadaan persekitaran masa lalu.

    Mereka akan mengekstrak ais dalam beberapa tiub dari sejauh 125 meter di bawah permukaan, yang mengandungi jejak geokimia beku sejak tiga abad lalu.

    Analisis bahan kimia dalam ‘teras ais’ menyediakan para saintis data berharga tentang keadaan persekitaran masa lalu.

    Tetapi pakar memberi amaran bahawa air daripada pencairan ais telah bocor dan mengubah rekod geokimia yang dipulihara dalam ais purba di bawahnya.

    Saintis-saintis ais ‘sedang melihat bahan utamanya yang hilang selama-lamanya dari permukaan planet’, kata Jerome Chapellaz, presiden yayasan Ice Memory yang menjalankan operasi itu memberitahu AFP.

    “Ia adalah menjadi tanggungjawab kami sebagai ahli glasiologi generasi ini untuk memastikan sedikit daripadanya dipulihara.”

    Pelepasan karbon disebabkan oleh manusia telah memanaskan planet ini sekitar 1.1 darjah Celsius sejak abad ke-19. Kajian menunjukkan Artik menjadi hangat antara dua dan empat kali lebih cepat daripada purata global.

    Satu set tiub ais akan digunakan untuk analisis segera manakala set kedua akan dihantar ke Antartika untuk disimpan dalam ‘penyimpanan memori ais’ di bawah salji, di mana sampel-sampel itu akan dipulihara untuk generasi saintis akan datang.

    Lapan pakar dalam misi itu telah mendirikan perkhemahan pada ketinggian 1,100 meter di padang ais Holtedahlfonna dan merancang untuk memulakan penggerudian esok, menurut Ice Memory.

    Mereka akan bekerja selama tiga minggu dalam suhu serendah -25C, memotong dan mengeluarkan satu siri silinder ais, setiap satu meter panjang dan 10cm lebar.– AFP

    Gambar fail 24 Ogos 2016 menunjukkan Jerome Chappellaz (kanan) bersama rakan saintis yang lain membawa sebahagian teras ais di Chamonix, Perancis. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda