Wednesday, December 4, 2024
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Saintis berjaya biak badak sumbu yang hampir pupus?

    NAIROBI, 25 JAN – Seekor badak sumbu telah dibuntingkan melalui pemindahan embrio dalam kejayaan penggunaan kaedah pertama yang dikatakan oleh ahli pemuliharaan mungkin dapat menyelamatkan subspesies badak sumbu putih utara yang hampir pupus.

    Dalam ujian dengan subspesies lain, para penyelidik mencipta embrio badak sumbu putih selatan dalam makmal daripada telur dan sperma yang telah dikumpulkan sebelum ini daripada badak sumbu lain dan memindahkannya ke induk tumpang badak sumbu putih selatan di Pusat Pemeliharaan Ol-Pejeta di Kenya.

    “Kejayaan pemindahan embrio dan kehamilan tersebut membuktikan konsep yang berjaya dan membuka jalan untuk pemindahan embrio badak sumbu putih utara yang dianggap sebagai langkah penting dalam misi menyelamatkan badak sumbu itu daripada kepupusan,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan kelmarin.

    Bagaimanapun, pasukan itu hanya mengetahui kehamilan itu selepas induk tumpang mati akibat jangkitan kuman pada November 2023. Badak sumbu itu dijangkiti apabila spora daripada strain clostridium dilepaskan dari tanah oleh air banjir dan embrio tersebut ditemui semasa pemeriksaan bedah siasat.

    Namun, para saintis sangat optimis dengan penemuan mereka.

    “Sekarang kita mempunyai bukti yang jelas bahawa embrio yang dibekukan, dicairkan, dihasilkan dalam tabung uji boleh menghasilkan kehidupan baharu dan itulah yang kita mahukan untuk badak sumbu putih utara,” kata Profesor Thomas Hildebrandt, penyelidik utama dan ketua Jabatan Pembiakan di BioRescue. – AP

    Foto bertarikh 23 Ogos 2019 menunjukkan dua ekor badak sumbu putih utara terakhir di planet ini, Fatu (kiri) dan Najin (kanan), di Pusat Pemeliharaan Ol Pejeta, Kenya. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda