ISTANBUL, 13 NOV – Ahli Sains dari China berkata mereka berjaya mengekstrak mineral nadir bumi daripada tumbuhan hidup, satu penemuan yang dipercayai pertama seumpamanya dan langkah ke arah kaedah perlombongan mesra alam, lapor Anadolu Ajansi.
Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Environmental Science & Technology, dijalankan oleh penyelidik Institut Geokimia Guangzhou di China dan Virginia Tech di Amerika Syarikat.
Saintis mengumpul sampel tumbuhan hiperakumulator iaitu spesies tumbuhan yang diketahui mampu menyimpan logam pada kadar luar biasa tinggi bersama sampel tanah di sekitarnya.
Analisis mereka mendedahkan kehadiran monazit berskala nano, sejenis mineral fosfat yang biasanya terbentuk di bawah tekanan dan suhu tinggi, di dalam tisu tumbuhan itu. Kepekatan tertinggi ditemukan pada pinna (hujung daun), diikuti akar dan tangkai daun, menurut kajian itu.
Pasukan penyelidik mendapati yang tumbuhan itu mampu mengumpul logam berat dan metaloid pada tahap ‘ratusan hingga ribuan kali lebih tinggi’ daripada tanah sekelilingnya.
Penemuan ini menyokong potensi kaedah fitoperlombongan iaitu proses menggunakan tumbuhan untuk mengekstrak logam berharga daripada tanah.
Mereka mencadangkan agar tumbuhan hiperakumulator ditanam di kawasan kaya logam dan kemudian mineral nadir bumi diekstrak daripada bahan tumbuhan yang dituai.
“Dengan menanam tumbuhan hiperakumulator, unsur nadir bumi bernilai tinggi boleh diperoleh daripada tumbuhan sambil memulihkan tanah tercemar dan memulihkan ekologi kawasan perlombongan, sekali gus merealisasikan model hijau kitaran ‘pemulihan dan kitar semula serentak’, menurut laporan kajian itu.
Menurut penyelidik, monazit boleh digunakan dalam pelbagai aplikasi termasuk saduran, laser, luminofor (bahan pendarfluor), penghalang resapan, konduktor ion dan pengurusan sisa radioaktif. – Bernama/Anadolu

