BEIJING, 6 FEB – Penyelidik pertanian China telah berjaya mengklon ‘lembu super’ yang dikatakan berupaya menghasilkan sejumlah 18,000 liter susu setiap tahun dan lebih 100,000 liter susu sepanjang hayat haiwan tersebut.
Penyelidik telah mengklon tiga ekor lembu super dan inovasi itu diharap dapat membantu negara itu mengurangkan kebergantungan terhadap import produk susu.
Menurut seorang pakar, meskipun lembu itu diklon, susu yang dihasilkannya tiada beza dengan lembu asal dan sebaik saja ia mencapai umur dua tahun, haiwan itu sudah boleh menghasilkan susu untuk pasaran. Untuk mengklon haiwan itu, saintis dari Universiti Sains, Teknologi Pertanian dan Perhutanan Northwest mengambil sel somatik dari telinga lembu baka Holstein Frisian Belanda.
Menurut kenyataan dari universiti terbabit, baka lembu berkenaan sangat produktif dan dijadikan lembu pengganti.
Teknik yang dikenali sebagai pemindahan nuklear sel somatik adalah sama digunakan untuk mencipta kambing biri-biri Dolly pada 1996, mamalia klon pertama dunia.
Tiga anak lembu itu dilahirkan di bandar Lingwu, wilayah autonomi Ningxia Hui. Anak lembu pertama dilahirkan pada 30 Disember lalu melalui kaedah pembedahan mempunyai berat 56.7 kilogram dan berkongsi bentuk dan corak sama seperti lembu yang diklonkan.
Selepas mencapai kematangan, lembu klon itu dijangka dapat menghasilkan sebanyak 18,000 liter susu setahun berbanding 12,000 liter susu setiap tahun yang dihasilkan purata lembu di Amerika Syarikat.
Ketua penyelidikan, Jin Yaping mengatakan pengklonan lembu super akan membolehkan China memelihara lembu baka tenusu terbaik dan menghindari risiko biosekuriti daripada import lembu hidup dari negara lain.
Menurutnya, kementerian pertanian merancang menternak lebih 1,000 lembu super dalam masa dua hingga tiga tahun sekali gus memberikan sokongan utama menghasilkan lembu ternakan dan tenusu sendiri serta mengurangkan kebergantungan pengimportan lembu China. – ANN/China Daily